Tuesday 15 October 2013

Polis tumpaskan sindiket jual beli kereta terpakai

Maszely Minhad
Maszely Minhad


IPOH - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan membabitkan jual beli kereta terpakai di beberapa negeri dengan tertangkapnya seorang lelaki dan dua wanita pada Sabtu dan Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Superintendan Maszely Minhad berkata, lelaki berusia 43 tahun dan dua wanita yang masing-masing berumur 25 dan 29 tahun ditangkap dalam dua serbuan di Temerloh, Pahang dan Serdang, Selangor.

Beliau berkata, dengan penangkapan tiga individu itu polis berjaya menyelesaikan 25 kes penipuan di lima negeri iaitu Perak, Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Selangor.

Maszely berkata, daripada 25 kes itu, lapan kes dilaporkan di Perak membabitkan kerugian berjumlah RM409,050.

"Sindiket terbabit akan mencari mangsa yang mengiklankan kenderaan untuk dijual menerusi internet. Anggota sindiket kemudian menghubungi mangsa dan menyamar sebagai broker jual beli kenderaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Maszely berkata, sindiket yang dipercayai aktif sejak 2010 itu kemudian akan membuat pembayaran kepada mangsa menggunakan cek jurubank palsu dan mangsa hanya menyedari mereka ditipu ketika ingin menukar cek berkenaan di bank.

"Semasa urusan pembayaran dilakukan, suspek meminta mangsa menandatangani borang tukar milik kenderaan dan mengambil salinan kad pengenalan untuk urusan tukar milik," katanya.

Beliau berkata, sindiket terbabit akan menjual kenderaan itu kepada mana-mana syarikat menjual kereta terpakai sebelum mangsa cuba menunaikan cek palsu tersebut. Kebiasaannya sindiket itu melakukan urusan jual beli kenderaan pada hari Khamis atau Jumaat bagi mengelak penipuan cek palsu dikesan oleh mangsa, katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas 240 keping cek jurubank (Bankers Cheque), satu mesin taip elektronik, satu mesin fotostat, sebuah komputer riba, lapan salinan pendaftaran kereta, empat dokumen jual beli kereta terpakai, 30 salinan kad pengenalan dan satu kad pengenalan dipercayai milik mangsa.

Maszely turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terutama yang ingin menjual dan mengiklankan jualan kenderaan di internet bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

"Orang ramai sewajarnya perlu terima bayaran dalam bentuk tunai untuk mengelak daripada diperdaya oleh sindiket penipuan jual beli kereta terpakai," katanya dan memberitahu ketiga-tiga suspek direman empat hari bermula tarikh mereka ditangkap.

- Bernama

No comments:

Post a Comment