Tuesday 15 October 2013

Lelaki mengaku tidak bersalah rogol anak sulung

Lelaki mengaku tidak bersalah rogol anak sulung
Bapa kepada lima anak ini mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen semalam, atas dua pertuduhan merogol anak sulungnya.


KUALA TERENGGANU - Seorang bapa kepada lima anak dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas dua tuduhan merogol anak sulungnya yang baru berusia 16 tahun.

Bagaimanapun, dia yang berusia 38 tahun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram terhadap mangsa.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan sumbang mahram terhadap mangsa di sebuah bangsal kebun simpang Santong Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, kira-kira jam 3.30 pagi, 16 Ogos lalu.

Dia yang mempunyai dua isteri itu turut didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa di alamat sama, kira-kira jam 9.30 malam, pada 12 September lalu.

Bagi setiap pertuduhan itu, lelaki terbabit berdepan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Wan Fadhilah Nor menetapkan 19 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah turut membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat dia tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi-saksi bagi kes berkenaan.

Sinar Harian keluaran 1 Oktober lalu melaporkan mengenai seorang penjaga dusun yang tergamak menjadikan anak sulungnya sebagai pemuas nafsu sejak mangsa berusia 10 tahun dan perbuatan itu berlarutan sehingga mangsa kini berusia 16 tahun.

Perbuatan jijik si bapa terhadap mangsa terbongkar selepas dipaksa ibunya menceritakan kejadian sebenar apabila dimaklumkan perubahan sikap mangsa yang cuba melarikan diri, serta terlalu takut setiap kali berhadapan suspek.

Sumber

No comments:

Post a Comment