Wednesday 2 October 2013

Polis Johor tahan 2,445 individu dalam Ops Cantas Khas

Polis Johor tahan 2,445 individu dalam Ops Cantas Khas

Polis Johor berjaya menahan seramai 2,445 individu yang terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah sejak Ops Cantas Khas dilaksanakan bermula 17 Ogos lalu.

Sepanjang tempoh Ops Cantas Khas dilakukan, indeks jenayah negeri itu memperlihatkan penurunan yang positif iaitu sebanyak 265 kes, bersamaan dengan 12.28 peratus.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata jumlah individu yang ditahan itu adalah daripada 120,320 individu yang yang diperiksa menerusi sekatan jalan raya, serbuan dan pemeriksaan polis.

Mereka yang ditangkap terdiri daripada 1,394 berbangsa Melayu, 445 Cina, 301 India dan 305 lain-lain bangsa.

“Daripada jumlah yang ditangkap seramai 1,270 individu dipercayai terlibat dalam kes jenayah, 26 jenayah komersial, 1,080 terlibat dalam penggunaan narkotik manakala 69 daripadanya merupakan penjenayah yang dikehendaki polis” katanya.

“Pelbagai senjata turut dirampas termasuk enam senapang tiruan, tiga senapang angin dan sepucuk pistol”, beliau berkata demikian pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Johor Selasa.

Dalam pada itu, 68,834 buah kenderaan telah diperiksa dan sebanyak 157 buah kenderaan dirampas bersabit laporan kehilangan.

Operasi tersebut melibatkan seramai sembilan ribu anggota polis di negeri itu dan dibantu pegawai berpengalaman dan beberapa pasukan petugas.

Sehingga kini, 551 individu masih dalam tahanan dengan perintah mahkamah.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan perlantikan Senior Assistant Commissioner (SAC) Datuk Hasnan Hassan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor mengantikan Datuk Dr.Hashim Haron.

Datuk Hasnan pernah memegang jawatan sebagai ketua Jabatan Sisatan Jenayah Selangor pada 2008 dan seterusnya menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Gangsterism D7 Bukit Aman sebelum memegang jawatan terakhirnya sebagai Ketua Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.



- ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment