Tuesday 29 October 2013

Penganggur merompak dapat 20 tahun, 4 sebatan

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan rompakan berkumpulan bersenjatakan parang dan pisau ke atas empat jurujual, Julai lepas.

Hakim Azwarnida Affandi menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan terhadap Wong Wei Loong, 35, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah bagi keempat-empat pertuduhan merompak itu.

Bagaimanapun, Wong hanya perlu menjalani hukuman penjara lima tahun selepas mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan secara serentak bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 2 Ogos lepas.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Wong bersama-sama dengan empat lagi rakan yang masih bebas didakwa dengan niat bersama merompak wang tunai RM20,700, tiga kereta, telefon bimbit, dua bentuk cincin dan seutas rantai emas serta kad ATM dan kad kredit milik Seh Kai Loon, 21, Hock Mei Teng, 21, dan Sin Sheck Lee, 22, di sebuah rumah di Jalan Flora Impian, Taman Sri Sinar, Segambut di sini pada 10.25 malam, 12 Julai lepas.

Bagi pertuduhan keempat pula Wong bersama-sama dengan empat lagi rakan yang masih bebas didakwa dengan niat bersama merompak wang tunai RM4,000, seutas jam tangan, telefon bimbit, dan kad ATM milik Tan Lian Ching, 19, di tempat, pada masa dan tarikh sama.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku ketika Seh masuk ke dalam rumah apabila tiba-tiba beliau didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali dari arah belakang lalu mengacukan pisau di lehernya.

Pada masa itu juga, sembilan rakannya termasuk Hock, Sin dan Tan yang ketika itu berada di ruang tamu turut didatangi lima lagi lelaki tidak dikenali bersenjatakan parang dan pisau, meminta mereka menyerahkan barangan berharga sebelum melarikan tiga buah kereta milik mangsa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran memberitahu mahkamah bahawa tertuduh kini menjalani hukuman di Penjara Kajang atas kesalahan menyimpan harta rompak.

Sebelum itu, Wong yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman penjara minimum kerana dia telah insaf dan mempunyai seorang anak perempuan berumur 11 tahun yang kini di bawah jagaan ibunya.


Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment