Tuesday 29 October 2013

Hentian bas jadi port maksiat

Hentian bas jadi port maksiat
Terminal Bas Bandar Melawati Kuala Selangor yang perlu diberi perhatian.

MESKIPUN perkhidmatan bas sudah beroperasi semula, namun pengguna memohon pihak berkenaan supaya dapat memantau keadaan terminal bas terutamanya Terminal Bas Bandar Melawati Kuala Selangor yang didakwa terbiar sehingga menjadi port maksiat dan kaki mabuk.

Aduan itu turut dibangkitkan Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Bukit Melawati, S Manikavasagam apabila pihaknya sering menerima aduan penduduk dan pengguna perkhidmatan bas di terminal terbabit yang tidak selesa keadaan tingkat atas yang terbiar.

“Saya lihat beberapa individu yang tidur di tingkat atas itu kebanyakannya kaki botol kerana mereka sering datang ke pejabat PKM Dun Bukit Melawati yang berhadapan terminal bas itu untuk minta wang.

“Keadaan tingkat atas pun kotor dan dipenuhi botol arak dan todi sedangkan kawasan itu sangat berpotensi menjadi ruang niaga yang strategik terutamanya kawasan medan selera.

“Sayang sekali kerana pemandangan dari tingkat atas sangat menarik kalau ruang itu dijadikan tempat makan sekali gus menjana pendapatan PBT,” katanya.

Lain pula ceritanya di Terminal Bas Tanjong Karang yang didakwa menjadi lokasi ceramah parti politik pada pilihan raya umum lalu sehingga menimbulkan ketidakselesaan segelintir pihak.

Dakwa penduduk, keadaan terminal bas yang tidak berfungsi sepenuhnya itu dikatakan menjadi lokasi ceramah parti pada sebelah malam ketika musim berkempen menjelang saat PRU13.

Bagaimanapun keadaan itu dikatakan tidak menimbulkan masalah kepada orang ramai memandangkan penggunaan hanya pada waktu malam manakala sebelah pagi menjadi kawasan penduduk menunggu bas untuk ke Kuala Selangor.

Source: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment