Tuesday 29 October 2013

Makan nasi berlauk cicak

Makan nasi berlauk cicak
Seekor cicak yang terdapat dalam makanan dihidangkan kepada pelajar di sebuah kantin sekolah.


JITRA - Seorang waris pelajar sebuah sekolah di sini kecewa dengan kualiti makanan yang dihidangkan kepada pelajar sehingga menyebabkan anaknya hampir termakan cicak yang terdapat dalam hidangan harian di sekolah itu.

Waris mangsa, Fawzi Ali berkata, dia dimaklumkan oleh anaknya selepas terjumpa seekor cicak bersama ikan goreng dalam nasi yang dihidangkan untuk makan tengah hari pelajar pada minggu lalu.

Menurutnya, anaknya merasa loya apabila melihat seekor cicak dalam pinggan lalu memaklumkan kepada pihak kantin.

"Bagi mengelak berlakunya kekecohan, pengusaha itu menggantikan nasi dan lauk yang lain kepada anak saya.

“Saya sungguh kecewa dengan pihak pengurusan kantin yang lalai dalam menyediakan makanan kepada pelajar hingga membolehkan berlakunya keracunan.

Apabila saya melihat gambar itu, ia sungguh menjijikkan dan tidak wajar perkara itu boleh berlaku," katanya.

Fawzi berkata, sebelum ini dia pernah mendengar aduan daripada rakan anaknya yang sering terjumpa ulat dalam makanan yang dihidangkan kepada pelajar.

Katanya, dia berharap pihak berkenaan datang menyiasat kualiti makanan yang dihidangkan kepada pelajar di sekolah terbabit.

"Saya berharap Kementerian Pendidikan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak pengurusan kantin sekolah itu kerana jika dibiarkan, ia dibimbangkan akan menyebabkan berlakunya perkara yang lebih serius kepada pelajar sekolah itu," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment