Tuesday 29 October 2013

'Mummy' dalang pelacuran

MUAR – Lima wanita warga Vietnam antara lapan yang ditahan dalam Ops Noda anjuran anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sebuah pusat hiburan, malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, serbuan jam 12.45 pagi itu hasil maklumat berkaitan kegiatan pelacuran oleh warga asing yang didalangi ‘mummy’ (ibu ayam), seorang wanita tempatan berusia 37 tahun.

Menurutnya, lima wanita warga asing itu menggunakan pas lawatan sosial untuk ke negara ini kira-kira tiga bulan lalu, tetapi diperdaya ‘mummy’ terbabit dengan dijadikan pelacur. “Semasa serbuan, sebahagian mereka sedang leka melayan pelanggan dalam beberapa bilik khas.

“Kita turut menahan seorang lelaki yang juga pemilik pusat hiburan berkenaan yang berusia 39 tahun serta dua lagi pekerjanya berumur 20an,” katanya dalam sidang media di IPD Muar, semalam. Sahadan berkata, pihaknya merampas satu pemain cakera padat, satu mikrofon, tiga cakera padat dan 10 kotak kecil mengandungi kondom.

Katanya, ketika pemeriksaan ke atas pemilik premis berkenaan, turut ditemui satu buku catatan pelanggan.

“Polis merampas wang tunai RM1,399 dipercayai hasil kutipan aktiviti pelacuran pada malam serbuan.

"Premis ini telah empat kali diserbu dan disaman sebelum ini, tetapi pemiliknya masih berdegil dan menjalankan kegiatan berkenaan.

“Kesemua mereka ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Imigran 2007 dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1995.

Sahadan memberitahu, lima wanita Vietnam terbabit boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment