Sunday 6 October 2013

Pelajar sekolah dicekup meragut

Pelajar sekolah dicekup meragut
Pemutar skru dan sepana yang dirampas daripada suspek yang memecah masuk tadika di Jelutong awal pagi semalam.


GEORGETOWN - Dua pelajar sekolah dicekup kerana disyaki terlibat dalam satu kes ragut di Jelutong, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, seorang sepatutnya menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), namun rekod mendapatinya sudah dibuang sekolah. Beliau berkata, kedua-duanya ditahan selepas meragut telefon bimbit seorang wanita yang sedang menggunakannya di hadapan rumahnya di West Jelutong, kira-kira 8.30, malam kelmarin.

“Kegembiraan mereka meragut telefon bimbit itu tidak lama, kerana berjaya ditangkap beberapa anggota polis yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian,” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, hasil semakan, kedua-dua pelajar itu tidak mempunyai rekod jenayah dan motosikal yang digunakan juga bukan barangan curi.

“Pelajar berusia 17 berasal dari Kampung Baru, Bedong, Kedah dan bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan, manakala seorang lagi berusia 15 berasal dari Jalan Sungai, Georgetown.

“Kita sedang menyiasat sama ada mereka terlibat dengan kes lain yang dilaporkan sebelum ini. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan kesalahan kali kedua boleh dikenakan penjara dan denda atau sebat jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, polis memburu tiga lelaki yang dipercayai memecah masuk sebuah tadika di Jelutong awal pagi semalam.

Kong Meng berkata, dua suspek berjaya ditahan di kawasan tadika manakala tiga rakan mereka berjaya melarikan diri ketika polis memperkenalkan diri.

Menurutnya, kedua-dua suspek itu ditahan oleh sepasukan polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di sekitar Jelutong kira-kira jam 3.45 pagi semalam.

Kong Meng berkata, semasa membuat rondaan, sepasukan polis terlihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di depan tadika yang terletak di Lintang Penawar, di sini.

“Polis menjumpai sebatang sepana dan sebatang pemutar skru di dalam sebuah beg. Lelaki berusia 27 dari Flat Jalan Kedah mempunyai satu rekod jenayah.

“Polis kemudian memeriksa di sekitar tadika dan mendapati empat lagi lelaki dipercayai rakan suspek,” katanya.

Menurutnya, apabila menyedari kehadiran polis, keempat-empat lelaki berkenaan melarikan diri tetapi seorang berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan pada suspek kedua, polis menjumpai sebatang pemutar skru yang diubahsuai menjadi bentuk T. Lelaki berusia 34 tahun dari Flat Nusantara, Jalan Maklom mempunyai empat rekod jenayah lampau.

“Hasil ujian air kencing mendapati, kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamin (syabu). Polis masih memburu tiga lagi suspek yang masih bebas,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara lima tahun dan maksimum 14 tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Sumber, Oct. 6, 2013

No comments:

Post a Comment