Sunday 13 October 2013

Gelanggang perlawanan: FAM terima rayuan ATM

FAM terima rayuan ATM
Afandi (tengah) mengumumkan perubahan gelanggang perlawanan separuh akhir pertama antara ATM dan Kelantan di Kota Bharu, semalam. Turut kelihatan, Hamidin (kiri) dan Rosman.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan gelanggang perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan Jumaat ini dipinda semula ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata, pihak sekretariat meluluskan permohonan daripada Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) mengenai pertukaran semula gelanggang tersebut.

“Setelah menimbang rayuan dikemukakan sendiri oleh Panglima Angkatan Tentera merangkap Presiden PBAT, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, pihak sekretariat memutuskan untuk mengembalikan semula Stadium MPS kepada ATM untuk perlawanan separuh akhir pertama, Jumaat ini.

“Pihak PBAT memberi jaminan akan meningkatkan semua aspek termasuk meletakkan tahap keselamatan pada tahap tertinggi. Malah kami difahamkan, PBAT telah mengadakan perbincangan dengan Polis Di Raja< Malaysia bagi memastikan perlawanan tersebut berjalan lancar.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kota Bharu, semalam. Hadir sama Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ahli Jawatankuasa JKPT FAM, Rosman Mohd Ibrahim.Stadium MPS yang mempunyai kapasiti 16,000 tempat duduk merupakan gelanggang skuad The Gladiators pada saingan Piala Malaysia musim ini.

Pihak FAM sebelum ini meluluskan permohonan PBAT bagi pertukaran gelanggang ke Stadium Shah Alam atas faktor keselamatan namun di bantah pemain ATM memaksa mereka mengemukakan rayuan untuk kembali bermain di Stadium MPS.

Menurutnya, pihak sekretariat FAM akan memaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengenai pindaan terbaharu gelanggang aksi separuh akhir pertama itu dalam masa terdekat.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment