Sunday 8 September 2013

Zizan Hos AF2013, Pengkritik Tetap Diperkenalkan


Persoalan tentang siapakah yang akan bergelar hos bagi program Akademi Fantasia 2013 (AF2013) terjawab apabila pelawak popular, Zizan Razak diumumkan sebagai hos program realiti tersebut.
Pengumuman Zizan Razak sebagai hos AF2013 telah dibuat dalam Konsert Prelude AF yang berlangsung dari Padang MPK 4 Kemunting, Kuantan, Pahang sebentar tadi.
Zizan Razak yang merupakan bekas peserta program Raja Lawak serta salah seorang dari anggota kumpulan Jozan akan meneruskan kesinambungan hos AF yang sebelum ini diterajui Datuk Aznil Hj Nawawi, Dato` AC Mizal, Jimmy Shanley dan Sarimah Ibrahim.
Pemilihan Zizan sebagai hos AF2013 telah pun mula diperkatakan beberapa bulan sebelum program ini bermula namun pelawak tersebut enggan mengiyakan perkara tersebut sehinggalah penampilannya diumumkan di awal Konsert Prelude AF.
Selain pengumuman Zizan sebagai hos AF, turut diumumkan ialah barisan pengkritik tetap untuk AF2013. Pengkritik pertama yang diperkenalkan ialah aktres popular, Sharifah Amani yang juga merupakan anak kepada bekas pengajar AF, Fatimah Abu Bakar.
Komposer dan ahli kumpulan KRU, Edry Abdul Halim adalah pengkritik kedua yang diperkenalkan dan penglibatan KRU dalam program AF bukanlah perkara baru kerana sebelum ini, abang Edry sendiri iaitu Norman pernah memegang kerusi Pengetua AF8.
Ironinya pula, bekas pengetua AF sendiri untuk musim kelima, Roslan Aziz adalah pengkritik tetap yang ketiga diperkenalkan untuk musim kali ini. Roslan Aziz pernah mengetuai AF5 dan pada zamannya itu, Mila telah dipilih sebagai juara.
Dengan pengumuman hos dan pengkritik tetap ini, maka AF2013 telah pun bermula secara rasminya dan teruskan menonton AF2013 untuk mengikuti perkembangan pelajar kegemaran anda.


Sumber

No comments:

Post a Comment