Sunday 8 September 2013

Dimana ubat RM6 juta?

Panadol parasetamol jenama terkenal


SHAH ALAM - Penangkapan seorang pegawai kanan dalam pasukan tentera berpangkat kolonel yang berkhidmat di sebuah hospital tentera dan pemilik syarikat pembekalan ubat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar penyelewengan pembelian ubat bernilai hampir RM6 juta.

Penyelewengan yang berlaku sejak 2011 itu dijalankan secara licik oleh pegawai perubatan di hospital berkenaan yang bertanggung jawab mengesahkan penerimaan bekalan ubat yang diterima hospital itu.

Menurut sumber, kegiatan itu berjaya dikesan setelah siasatan mendapati pegawai perubatan itu hidup mewah tidak setanding dengan gaji yang diterima.



Pegawai perubatan yang ditahan oleh SPRM itu disyaki menyalah gunakan kuasanya dalam satu urusan pembekalan barangan bagi kegunaan sebuah hospital.

Sementara itu, pemilik syarikat berkenaan pula adalah bekas kakitangan kerajaan yang dipercayai memberikan habuan lebih RM4 juta kepada pegawai hospital terbabit untuk mengesahkan penerimaan bekalan ubat kepada hospital.


Kedua-dua mereka ditahan di sekitar ibu kota awal minggu ini.

Menurut sumber itu, penyelewengan tersebut bukanlah yang pertama berlaku. Ia dipercayai sudah berlaku beberapa kali secara sindiket.

Modus operandi kegiatan ini adalah dengan menghantar sebut harga pembekalan ubat-ubatan kepada hospital berkenaan terlebih dahulu.


Setelah kelulusan pembekalan diterima, pemilik syarikat seolah-olah melakukan prosedur seperti biasa tetapi ubat-ubatan tersebut sebenarnya tidak wujud.


Walaupun hanya pengesahan penerimaan dibuat tanpa menerima ubat-ubatan sepatutnya, pembayaran diluluskan.

Menurut sumber itu lagi, pihak SPRM sedang menyiasat bagaimana pengesahan penerimaan ubat-ubatan dibuat sedangkan ubat itu tidak wujud.

"Siasatan juga menjurus kepada penglibatan lebih banyak pihak. Kita percaya ada sesuatu yang tidak kena.


"Bagaimana pembayaran itu dibuat dengan begitu mudah sekali tanpa ada pemeriksaan atau audit dibuat terhadap setiap barang yang diterima," katanya, semalam.

Beliau juga hairan di mana silapnya sistem yang digunakan agensi berkenaan sehingga boleh mengakibatkan kerugian begitu banyak kepada kerajaan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada lagi kes-kes sedemikian yang perlu dipantau lebih-lebih lagi melibatkan dana awam.

"Adakah kerana kelompangan sistem membuatkan perkara ini berlaku atau amanah yang tidak dijaga penjawat awam dengan baik," katanya.

Sumber itu menegaskan, apa yang berjaya dikesan ini mungkin merupakan satu daripada ratusan kes penyelewengan ubat-ubatan yang berlaku di beberapa hospital utama di negara ini.

Tambah sumber itu, semua pihak sama ada Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan ataupun pihak hospital sendiri, perlu meneliti semula sistem yang diguna pakai di tempat masing-masing agar mereka yang diberi tanggungjawab menjalankan tugas dengan amanah dan supaya tidak ada ruang untuk sesiapa melakukan sebarang penyelewengan.


Katanya lagi, tindakan kerajaan membayar RM6 juta untuk ubat yang tidak wujud adalah merugikan negara di mana akibat ketirisan ini rakyat terpaksa menanggung pelbagai tekanan ekonomi.


Sumber

No comments:

Post a Comment