Sunday 8 September 2013

Penghormatan Terbesar Buat Atilia Di Pentas DFP

Meskipun sudah memiliki pengalaman menyanyi lebih dua dekad dan membuat persembahan di beberapa pentas antarabangsa, namun peluang membuat konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 22 September ini merupakan penghormatan terbesar dalam hidup penyanyi kecil molek, Atilia.
Buat pertama kalinya, penyanyi yang memiliki kelunakan suara tersendiri dengan lagu-lagu berirama jazz dan R&B itu bakal bergandingan bahu dengan Dina Nadzir dan Elvira Arul menerusi konsert MPO Jazz Orchestra.
Bercakap kepada portal murai.com.my sempena sidang media konsert berkenaan di Hotel Traders di sini baru-baru ini, Atilia berkata, berbeza dengan persembahannya untuk konsert nya sebelum ini, kali ini perasaannya bercampur baur.
"Sukar untuk saya gambarkan bagaimana perasaan saya ketika ini. Ianya menakutkan tetapi dalam masa yang sama sangat mengujakan saya. Boleh dikatakan konsert ini merupakan kemuncak kepada kerjaya saya serta pengalaman paling manis memasuki penghujung 2013.
" Saya sedar, nama saya sebagai seorang penyanyi tidaklah sepopular penyanyi komersial yang lain, tetapi persembahan saya pada konsert ini nanti akan saya jadikan platform terbaik untuk membuktikan perjuangan saya sebagai seorang penyanyi selama ini.
"Saya pernah dibayar dengan bayaran sangat sedikit dalam sesebuah persembahan. Tetapi saya tidak kisah kerana semua itu saya lakukan kerana minat mendalam.
"Apa yang boleh saya katakan, kemunculan konsert ini nanti akan membuka mata serta minda ramai orang untuk mengetahui muzik saya selama ini," katanya jujur.
Konsert yang dianjurkan sebagai penutup tirai sempena penganjuran DFP Seni Festival itu, bakal menyaksikan Atilia menyanyikan lima lagu popularnya seperti Sangkar, Indah dan Old Love.
Juga tidak ketinggalan tiga lagu duet serta trio bersama dua lagi penyanyi irama jazz dikenali ramai iaitu Elvira Arul dan Juga Dina Nazir.
Tambah Atilia, selain tidak sabar untuk menghiburkan penggemar irama jazz di dalam dewan DFP yang serba indah dan juga sophisticated, dia juga tidak sabar untuk beraksi bersama pengarah muzik terkenal, Marques Young.
"Ini adalah pertama kali saya membuat persembahan di DFP dan peluang menyanyi di bawah pimpinan Marques Young merupakan peluang yang sangat dinanti-nantikan.
"Agak pening juga kepala saya untuk membuat pilihan lagu yang sesuai untuk konsert ini nanti. tambahan pula ianya akan diiringi dengan barisan pemuzik klasikal hebat daripada MPO sendiri. InsyaAllah latihan akan membuatkan semaunya berjalan lancar," katanya.
Pada malam berkenaan, Atilia akan menggayakan persalinan indah daripada Innai Red dan juga Valentino.
Sebelum ini, pemuzik klasikal MPO pernah bekerjasama dengan artis jazz tersohor seperti Harry Connick Jr pada 2005, Chris Botti (2011), Laura Fygi dan Dato Sheila Majid menerusi konsert tersendiri di dalam ruang DFP.

Sumber

No comments:

Post a Comment