Sunday 8 September 2013

Hafiz Suip Dominasi Pencalonan APM 2013

Penyanyi, Hafiz Suip merupakan satu-satunya penyanyi yang berjaya mendominasi pencalonan Anugerah Planet Muzik 2013 yang akan berlangsung pada acara kemuncaknya di Suntec, Singapura, 18 Oktober ini.
Sebanyak, 7 anugerah yang berjaya didominasi penyanyi muda itu antaranya Artis Lelaki Terbaik, Duo/Kumpulan Terbaik (bersama Dato' Siti Nurhaliza), Lagu Terbaik, Lagu Terbaik (bersama Dato' Siti Nurhaliza ), Artis Serantau Paling Popular, Lagu Serantau Paling Popular (bersama Dato' Siti Nurhaliza) dan Ikon Media Sosial.
Sementara itu, penyanyi Shila Amzah, Aliff Aziz, band Indonesia Noah, penyanyi dari Singapura Hady Mirza serta kumpulan Sleeq masing-masing berjaya tercalon dalam 5 kategori di APM 2013.
Manakala, artis baru seperti Asmidar, Bo Amir Iqram, Shae, Cakra Khan turut tercalon dalam Anugerah Artis Baru (Vokal Terbaik).
Dalam pada itu, penganjuran kali ke-12 APM kali ini turut menampilkan satu anugerah baru iaitu Band Terbaik.
Band muzik yang tercalon dalam kategori ini adalah Bunkface, Gigi, Kotak, Mojo dan Noah.
Pencalonan bagi APM 2013 kali ini dihakimi oleh 9 orang juri yang membabitkan setiap negara serantau.
Juri yang mewakili Malaysia adalah Pengurus saluran Astro, Raqim Ahmad, penyanyi Rahmat Mega dan pemuzik Edry Hashim.
Mengulas mengenai penjurian kali ini, Rahmat Mega selaku juri memberitahu cabaran untuk melakukan pencalonan daripada 3 negara dalam masa yang sama dalah sangat rumit.
"Hendak membuat penjurian APM 2013 ini memang sangat sukar, lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan 3 negara serumpun.
"Bila dengar satu persatu lagu yang dihantar susah untuk menilai mereka daripada negara mana kerana cara nyanyian mereka lebih kurang sama dan sukar untuk dibezakan.
"Jadi, awal-awal lagi kami sudah menolak soal kerakyatan ke tepi dan hanya menilai lagu serta nyanyian yang punya mutu dan kualiti untuk dicalonkan," katanya di sidang media APM 2013 di Hard Rock Cafe, semalam.
Penerimaan pencalonan bagi karya muzik yang dikeluarkan kepada umum antara 1 Januari 2012 hingga 31 Disember 2012 telah ditutup pada 20 Ogos 2013 lalu.
APM 2013 dianjurkan oleh stesen radio Mediacorp Ria, Warna serta MediaCorp Suria.
Ia akan berlangsung secara langsung menerusi saluran Suria (Singapura), Astro Ria (Malaysia dan Brunei) serta Net Media (Indonesia).
Sejumlah 18 anugerah akan disampaikan di APM 2013 termasuk anugerah Artis Baru Lelaki dan Wanita Terbaik, Duo/Kumpulan Terbaik dan juga kategori baru yang diperkenalkan, Band Terbaik.
Selain itu, anugerah Lagu Terbaik dari setiap 3 negara Malaysia, Indonesia dan Singapura turut bersaing untuk merebut Anugerah Lagu Serantau Terbaik.
Peminat muzik dari Singapura, Malaysia dan Indonesia juga diberi peluang untuk mengundi lagu dan artis kegemaran mereka untuk kategori-kategori Paling Popular di laman www.facebook.com/Anugerah.Planet bermula 3 September hingga 10 Oktober ini.
Kategori Paling Popular adalah Artis Singapura Paling Popular, Lagu Singapura Popular, Artis Serantau Paling Popular, Lagu Serantau Paling Popular, ikon Media Sosial dan Nova Media Sosial.


Sumber: Murai @ MyLaunchpad 

No comments:

Post a Comment