Friday 20 September 2013

Perlu 192,300 juruterbang


UNJURAN Juruterbang dan Juruteknik Boeing 2013, yang mengunjurkan permintaan bagi petugas penerbangan, menyatakan syarikat penerbangan komersil memerlukan 192,300 juruterbang baru dan 215,300 juruteknik di rantau Asia Pasifik sehingga 2032.

Pengarah Jualan Global, Perkhidmatan Penerbangan Boeing, Bob Bellitto berkata, wujud permintaan sebenar dan mendesak bagi syarikat penerbangan dunia, khususnya di Asia Pasifik, untuk mendapatkan petugas yang cekap.

“Walaupun Boeing melabur dalam teknologi canggih bagi menarik dan mengekalkan tenaga muda yang berminat dalam kerjaya penerbangan, ini (kekurangan pekerja) merupakan isu industri di seluruh dunia yang hanya boleh diselesaikan menerusi penyelesaian industri secara menyeluruh,” katanya pada taklimat media mengenai unjuran berkenaan di Singapura, semalam.

Mengetuai rantau ini dalam permintaan untuk juruterbang dan juruteknik baru ialah China yang memerlukan 77,400 juruterbang dan 93,900 juruteknik, manakala Asia Tenggara memerlukan 48,100 juruterbang dan 50,300 juruteknik.

Bellitto berkata, penerbangan merupakan industri yang menarik untuk disertai dan Boeing mempunyai tanggungjawab bagi memastikan ia merupakan pilihan kerjaya yang berdaya maju untuk belia.

“Tenaga kerja penerbangan untuk esok akan menjadi sangat berbeza berbanding rakan mereka dalam industri itu hari ini. Kami perlu memberi tumpuan terhadap unjuran mereka untuk belajar, beralih daripada teknik kertas dan papan hitam kepada tablet, eBuku, teknologi permainan dan model tiga dimensi," katanya.

Seperti keperluan untuk mendapatkan pekerja baru, Asia Pasifik juga mengetuai permintaan untuk penghantaran pesawat komersil baru dalam tempoh 20 tahun akan datang, dengan 12,820 kapal terbang diperlukan menjelang 2032.

- Bernama

No comments:

Post a Comment