Sunday 15 September 2013

Agong tiba di Sarawak untuk sambutan Hari Malaysia

Agong tiba di Sarawak untuk sambutan Hari Malaysia

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berangkat tiba di Kuching hari ini bagi menghadiri Sambutan 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia.

Pesawat diraja yang membawa Seri Paduka berdua mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 11.30 pagi.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Barieng dan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu, yang juga pengerusi pengelola sambutan itu.

Seri Paduka berdua turut berkenan untuk diperkenalkan kepada barisan kenamaan negeri serta menyaksikan persembahan tradisional.

Semasa berada di bandar raya ini, Seri Paduka berdua akan menyaksikan perarakan kapal berhias sempena Malam Gemilang 50 Tahun di Tebingan Sungai Kuching pada malam ini.

Tuanku Abdul Halim serta Tuanku Hajah Haminah dijadual menghadiri Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka di sini pagi esok.

Pada sebelah petangnya Seri Paduka berdua akan melawat pameran Sarawak Gemilang 50 Tahun di Kompleks Pelancongan Sarawak.

Sementara itu program Tuanku Hajah Haminah diteruskan dengan lawatan ke Taman Orkid berdekatan bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Petra Jaya.

Malam esok, Yang di-Pertuan Agong akan merasmikan Kompleks Islam Sarawak di Jalan P Ramlee di sini.

Seri Paduka berdua dijadual mengambil bahagian dalam satu acara golf di Kelab Golf Sarawak pada Selasa sebelum berangkat pulang ke ibu negara pada sebelah petangnya.

- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment