Saturday, 29 April 2017

H6 Coupe & H9 tembusi pasaran Malaysia


KUNJUNGAN kali ini cukup berbeza. Sepanjang berada di jalan raya, mata tidak lekang melihat keunikan model-model kereta buatan China. Bayangkan, jenama kereta tempatan negara itu sahaja melebihi 100 jenis.

Soal plagiat reka bentuk membuatkan anda terkadang salah sangka. Pada satu model, anda boleh melihat campuran rekaan produk Korea Selatan, Eropah dan Amerika Syarikat. Sebaik melihat logo di belakang dan gril depan, ternyata ia jenama tempatan.

Lebih mengusik hati, apabila terserempak dengan model persis Range Rover Evoque. Perbezaan kualiti buatan boleh dilihat dengan jelas dan sangkaan penulis adalah betul, ia produk milik LandWind.

Berdasarkan pemerhatian penulis, pengguna di China tidak akan menukar logo kenderaan mereka kepada jenama rebadge asal. Ini kerana ia merupakan satu kesalahan mengakibatkan pemilik boleh disaman.

Masih Mencari Identiti

Secara peribadi, penulis berpendapat industri automotif China masih mencari jati diri. Sepertimana yang berlaku di Jepun. Sekitar era 60-an sehingga 70-an, Jepun masih lagi meniru rekaan dan teknologi dari Eropah dan Amerika Syarikat.

Jati diri negara matahari terbit tersebut mula kelihatan sekitar era 80-an dan 90-an. Walaupun identiti jenama China itu semakin terserlah, namun masih di peringkat permulaan.


Oleh kerana pasaran China yang besar, majoriti jenama automotif tempatan itu masih selesa memasarkan produk mereka secara lokal. Hanya dua model yang dilihat begitu agresif menakluki pasaran global iaitu Haval dan Geely.

Menariknya usia Haval hanya muda setahun berbanding Proton Holdings Berhad. Namun nama daripada singkatan perkataan ‘Have It All’ itu sudah 18 tahun berkecimpung dalam pasaran eksport. Sehingga September 2016 Haval menembusi 18 pasaran global termasuk Rusia, Australia, Chile, Peru, Malaysia, Georgia, Oman dan Bolivia.

Lebih menarik, syarikat SUV (kenderaan utiliti sport) popular di China itu menawarkan satu produk baharu yang memfokuskan kepada jenama mewah. Produk itu dinamakan sebagai WEY (diambil sempena nama pengasasnya). Jika Toyota memiliki Lexus, Nissan dengan jenama Infiniti, maka Haval pula dengan WEY.

Siapa tahu, WEY bakal menjengah pasaran tempatan satu hari nanti. Sebelum WEY muncul, ini model Haval yang bakal pasaran Malaysia terima.

Dua model untuk pasaran tempatan

Semasa lawatan ke kilang Haval di Baoding, Beijing, penulis dapat melihat secara dekat model Haval H6 Coupe dan H9 yang bakal memasuki pasaran tempatan.

Dibawakan oleh GO Auto, pengedar eksklusif jenama Haval di Malaysia, model H6 Coupe dan H9 ditawarkan menerusi enjin yang sama iaitu 2.0 liter petrol turbo. Varian diesel tidak akan dibawa masuk.

Versi import (CBU) akan dibawa masuk terlebih dahulu dan ketibaan kedua-dua SUV itu sekitar suku ketiga dan keempat tahun ini.

Enjin 2.0 liter petrol turbo H6 mampu menghasilkan kuasa 194hp dan tork 315Nm. Penghantaran kuasa ke roda ditugaskan kepada transmisi klac berkembar 6-kelajuan DCT. Harga anggaran bagi model Haval H6 Coupe ialah RM115,000 seunit.

Ketika di China, H6 turut ditawarkan dengan versi 1.5 liter turbo. Namun, pihak Go Auto tidak bercadang untuk membawa masuk versi tersebut. Mungkin bimbang akan bertindih dengan model sedia ada di pasaran tempatan iaitu H2.

Ketua Pegawai Eksekutif Go Auto, Ahmad Azam Sulaiman berkata pihaknya turut merancang melakukan pemasangan tempatan (CKD) model tersebut di kilang Go Auto di Gurun, Kedah.

“Bagaimanapun spesifikasi bagi pasaran Malaysia untuk kedua-dua model masih dalam perbincangan.

“Namun, unit yang dibawa masuk akan menerima 99 peratus kualiti yang sama seperti di China,” katanya.

Manakala SUV tujuh tempat duduk, Haval H9 lebih berkuasa yang mana enjin 2.0 liter turbo itu menghasilkan kuasa 215hp pada 5,500rpm dan tork 324Nm seawal 2,000rpm. Enjin itu digandingkan dengan transmisi ZF 6-kelajuan.

Model SUV ladder frame itu bakal bersaing dengan model Isuzu MU-X, Ford Everest dan Toyota Fortuner. Harga anggaran H9 ialah RM140,000 seunit. Di China, H9 ditawarkan dengan tiga varian iaitu Standard, Luxury dan Super Luxury.

Kualiti Bertaraf Global

Dapat dilihat kualiti kenderaan China kini sudah bertaraf global. Tidak semua, hanya pada jenama-jenama tertentu.

Sepanjang lawatan, penulis kagum dengan kualiti terkini yang ditawarkan Haval. Perbezaannya begitu ketara jika dibandingkan dengan produk awal yang memasuki pasaran tempatan.

Produk SUV berkenaan dibina dengan kualiti premium. Masuk ke kabin, menerusi sentuhan dan pandangan anda dapat melihat serta merasa material lembut di papan pemuka dan sisi pintu, kemasan kulit upholsteri dan penggunaan komponen plastik yang padu. Bahkan getah pada bingkai pintu juga boleh dikatakan mencapai standard Volvo.

Manakala model H9 tampil menarik dengan adanya running board yang keluar secara automatik ketika pintu dibuka.

Sukar untuk mengikis pandangan skeptikal berkaitan produk buatan China. Untuk lebih adil, apabila model tersebut tiba di pasaran tempatan, anda nilaikan sendiri dan rasai perbezaannya.

- 27 April 2017

No comments:

Post a Comment