Wednesday 25 November 2015

Anak Steve Irwin dinobat pemenang Dancing With the Stars

Irwin dan pasangannya dalam Dancing With the Stars, Derek Hough, dinobatkan juara. Foto/AP

Bindi Irwin, anak kepada bekas pengacara televisyen terkemuka Australia, Steve Irwin, diumumkan sebagai pemenang pertandingan realiti tarian Dancing With the Stars.

Irwin dan pasangannya, Derek Hough, menewaskan dua pasangan pencabar mereka; Nick Carter dan Sharna Burgess di tempat kedua, manakala Alek Skarlatos dan Lindsay Arnold di tempat ketiga.

Pada malam final pada Selasa, Irwin mendedikasikan persembahannya untuk mendiang bapanya. Dia dan Hough menerima markah penuh iaitu 30 untuk persembahan tersebut.

Kemenangan remaja berusia 17 tahun itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan berdasarkan persembahan konsistennya setiap minggu.

Malah Irwin dilabel sebagai penari dengan bakat semulajadi oleh para juri.

Irwin merupakan anak tunggal mendiang Steve, yang terkenal di seluruh dunia melalui rancangan The Crocodile Hunter.

Pencinta haiwan itu meninggal dunia pada tahun 2006 selepas tertusuk duri sengat ikan pari ketika melakukan penggambaran di dalam laut untuk sebuah program popularnya. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment