Wednesday 25 November 2015

Apalah dosaku, rintih Muhyiddin

Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yaasin hari ini menyatakan rasa sedih dan kecewanya berhubung keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang memutuskan timbalan presiden tidak akan lagi merasmikan persidangan sayap-sayap Umno.

Ujarnya, tindakan itu telah menyebabkan dirinya tidak lagi berpeluang menyampaikan amanat kepada ahli Umno yang disayanginya.

"Sejak enam tahun yang lalu sebagai timbalan presiden, menyampaikan amanat kepada perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno yang datang dari segenap pelusuk negara sentiasa saya laksanakan dengan penuh tanggungjawab.

"Ia adalah ucapan terpenting saya di hadapan para pejuang parti yang melakarkan harapan serta cita-cita saya agar Umno terus gagah meredah cabaran zaman.

Nampaknya, saya tidak berpeluang lagi untuk menyampaikan amanat saya dalam satu majlis yang amat bermakna buat saya sebagai timbalan presiden," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik menerusi Facebooknya hari ini.

Muhyiddin berkata bahawa dia dimaklumkan ada pihak-pihak tertentu yang mahu menghalangnya daripada berucap.

"Apalah dosa yang telah saya lakukan terhadap Umno sehingga tradisi berucap yang saban tahun diberikan kepada setiap timbalan presiden dinafikan kepada saya pada tahun ini?

"Atau apakah ada mereka yang cukup takut dengan apa yang akan saya ungkapkan di hadapan anak-anak muda yang dipercayai boleh meluputkan keyakinan kepada seseorang pemimpin," ujarnya.

Katanya beliau menghormati keputusan itu, namun beliau tidak akan berdiam diri jika ada sesuatu yang tidak kena dalam perjuangan Umno kini.

"Sementara saya menghormati keputusan MT, tetapi saya juga ingin mengingatkan mereka bahawa dalam sebuah negara yang bebas dan merdeka, tiada siapa yang boleh mendiamkan saya.

"Saya akan terus berbicara menyatakan yang hak. Perjuangan saya di dalam Umno bukanlah untuk mempertahankan mana-mana individu, tetapi untuk membela agama, bangsa dan negara yang tercinta.Insya-ALLAH , saya akan terus istiqamah di atas landasan perjuangan suci ini," katanya.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Majlis Tertinggi memutuskan mesyuarat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pada Perhimpunan Agung Umno bulan Disember depan akan dirasmikan ketua sayap masing-masing dan bukannya Muhyiddin.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment