Wednesday 25 November 2015

Sentuhan terbaharu Syafiq Yusof


NAMA Syafiq Yusof sememangnya cukup dikenali dalam arena pengarahan filem. Namun tidak terbatas setakat itu, Syafiq membuktikan dia seorang pengarah versatil.

Terbaharu, Syafiq tampil dengan sebuah drama bersiri bertajuk ‘Cinta Dari Marikh’. Menariknya drama bersiri 26 episod tersebut menggandingkan pelakon yang mula mencipta nama Fattah Amin dan Chacha Maembong, bersama A. Galak, Amyza Aznan, Harun Salim Bachik dan ramai lagi.

Menerusi drama bersiri yang bakal menemui penonton mulai 30 November ini, setiap Isnin, jam 9 malam di TV2, Fattah memegang watak sebagai Aiman, seorang jejaka yang jatuh cinta dengan makhluk asing dari Planet Marikh iaitu Nova (Chacha).


Ia mengisahkan Aiman, pelajar kolej yang bercita-cita besar mahu menjadi seorang pelakon aksi terhebat seperti Aaron Aziz. Aiman mempunyai dua teman rapat, Farah dan Zam.

Datuk Aiman sudah tidak tahan dengan perangai cucunya itu lalu mahu menghantar Aiman ke kolej tentera untuk mendapatkan pendidikan dan mendisiplinkan cucunya itu.

Sementara itu Nova berasal dari planet Marikh yang sedang mengalami cuaca yang teruk akibat pemanasan global yang berlaku di planet itu angkara penghuni-penghuninya tidak mengendahkan ekosistem dan alam sekitar mereka.

Tidak lama lagi, mereka terpaksa berpindah ke planet lain. Tujuan Nova berhijrah ke bumi adalah untuk mengkaji kehidupan di dunia dengan menjalani kehidupan seperti manusia biasa sebelum membawa kaumnya berhijrah ke bumi.

Dalam pada ketika Nova sedang merentasi portal ke bumi, Aiman telah berkhemah bersendirian di dalam gua diatas bukit yang selalu dikunjunginya.

Aiman terkejut dan amat takut melihat Nova yang kelihatan bercahaya bersinar-sinar. Setelah itu Aiman terus lari jauh ke dalam hutan, tetapi malangnya telah terjatuh ke dalam gaung yang sangat dalam dan tidak sedarkan diri.

Kaiser, pemburu makhluk asing, berniat untuk membunuh kedua-dua mereka tetapi tidak kesampaian kerana wajah Nova sama seperti bekas kekasih hati Kaiser.

Bagaimanakah kesudahannya? Adakah ada cinta antara manusia dan makhluk asing ini dan mampukah mereka bersatu? Saksikan kesudahannya hanya di TV2.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment