Friday 17 April 2015

Zahid dedah kegiatan kumpulan kongsi gelap peras wang perlindungan

ZAHID: Kegiatan kongsi gelap telah menjadi satu trend di seluruh negara dan kegiatan pasaran gelap itu tidak boleh diizinkan.

IPOH: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan kegiatan kumpulan-kumpulan kongsi gelap yang meminta wang perlindungan daripada para kontraktor sehingga menyebabkan projek-projek pembinaan terbengkalai.

Katanya, kegiatan terancang kumpulan-kumpulan kongsi gelap ini dikesan bukan sahaja di bandar-bandar malah di pekan-pekan kecil dan sasaran mereka ialah kontraktor yang mengendalikan projek besar kerajaan dan swasta.

Menurut Zahid, daripada laporan yang beliau terima, satu dua kes tangkapan telah dibuat oleh pihak polis setelah menerima pengaduan daripada pihak kontraktor bahawa pejabat projek mereka dibakar manakala barang binaan dicuri kerana gagal membayar wang perlindungan.

“Ini (memeras wang) akan membunuh para kontraktor berkenaan ataupun jika wang perlindungan itu tidak dibayar atau dibayar sedikit daripada jumlah yang diminta, maka projek ini ditangguhkan menjadi projek terbengkalai.

“Saya ingin memberi jaminan mana-mana projek yang dijalankan oleh mana-mana kontraktor supaya membuat laporan dan memberikan maklumat kepada pihak kami serta pihak PDRM bagi tindakan segera dilakukan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-38 Persatuan Kontraktor Melayu Negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh Pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Kontraktor Melayu Perak, Datuk Wira Jamaludin Abd Rahim.

Menurut Ahmad Zahid, kegiatan kongsi gelap telah menjadi satu trend di seluruh negara dan kegiatan pasaran gelap itu tidak boleh diizinkan.

Sehubungan dengan itu beliau berharap para kontraktor tidak akan tunduk terhadap ugutan dan tekanan yang dibuat kumpulan kongsi gelap ini sebaliknya melaporkannya kepada pihak PDRM supaya tangkapan dapat dibuat terhadap mereka yang terbabit.

Katanya, walaupun tidak ada statistik jumlah sebenar terhadap kes wang tebusan ini tetapi pihak KDN mendapat tahu ada aduan dibuat oleh para kontraktor bahawa wang tebusan terpaksa dibayar kepada kongsi gelap. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment