Friday 17 April 2015

Tak janggal ditemukan semula dengan Neelofa - Hans Isaac


KUALA LUMPUR : Selebriti Hans Isaac menepis dakwaan beliau kelihatan janggal apabila disatukan dalam segmen program hiburan Meletop yang menampilkan bekas kekasihnya Neelofa selaku pengacara.

Hans berkata, beliau sememangnya maklum dengan situasi yang mana mereka perlu bersua muka juga akhirnya kerana bekerja dalam industri yang sama.

"Saya tidak merasa janggal langsung sebenarnya ketika bertemu di Meletop tempoh hari. Cuma saya tahu kawan-kawan gemar menyakat dan sebolehnya saya cuba untuk tidak menjadi bahan usikan pada hari itu.

"Lagipun industri hiburan kecil dan kami tahu satu hari nanti memang akan berjumpa juga. Tiada masalah dari pihak saya berkenaan isu ini.

"Hakikatnya memang tiada masalah dan saya bersikap professional sewaktu ditemu bual oleh beliau (Neelofa) pada masa itu," kata Hans kepada BH Online.

Selain itu, Hans turut menjelaskan bahawa beliau kini sudah menemui pengganti namun belum bersedia untuk bercerita lanjut.

"Apa yang boleh saya katakan adalah saya sedang mengenali seseorang ketika ini. Namun saya tidak mahu bercerita lanjut.

"Kali ini biarlah saya bersikap tidak terlalu terbuka dengan urusan peribadi yang mana saya belajar dari kesilapan lalu," tegas Hans.

Selain itu, Hans turut berbangga dengan barisan pelawak pilihannya untuk Lawak Ke Der kali ini kerana berjaya membuktikan bahawa beliau membuat pilihan yang tepat.

"Ada yang mempersoalkan barisan pelawak yang dipilih oleh saya kali ini. Mereka mengatakan bahawa nama mereka tidak cukup kuat menarik minat orang ramai untuk datang menonton.

"Saya begitu berbangga kerana mereka berjaya membuktikan bahawa bakat dan komitmen yang diberikan mampu menghidupkan persembahan itu," kata Hans.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment