Tuesday 27 January 2015

Gary bakal jalani latihan bersama kelab gergasi Jerman

PBNJ memaklumkan Gary (kanan) yang sah menyarung jersi JDT musim ini, bakal menjalani latihan di sana selama tempoh penggantungan tersebut. - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Bekas pemain Harimau Muda, Gary Steven Robbat yang kini digantung daripada menyertai sebarang aktiviti bola sepak selama tiga bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bakal menjalani latihan bersama kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund.

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) memaklumkan pemain berkenaan yang sah menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT) musim ini, bakal menjalani latihan di sana selama tempoh penggantungan tersebut.

"Semoga Gary akan menggunakan peluang ini untuk mempertingkatkan mutu permainan beliau dan seterusnya dapat memantapkan lagi pasukan JDT," demikian menurut PBNJ menerusi laman Facebook rasmi JDT; Johor Southern Tigers, hari ini.

Untuk rekod, PBNJ menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kelab yang berpangkalan di Dortmund itu pada 22 Dis lepas sebagai salah satu usaha untuk memantapkan pembangunan bola sepak di Johor terutamanya di peringkat akar umbi.

Kerjasama itu diadakan susulan kunjungan Pengarah Pembangunan Belia Borussia Dortmund, Edwin Boekamp ke atas Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merupakan Presiden PBNJ pada 16 dan 17 Okt tahun lepas.

Jawatankuasa Status Pemain FAM yang bersidang pada 16 Jan lepas, mengenakan penggantungan selama tiga bulan selain denda RM50,000 ke atas Gary kerana melanggar peraturan FAM mengenai perpindahan pemain dengan menandatangani kontrak bersama JDT dan Pahang.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment