Sunday 15 November 2015

Mia nafi Mira punca renggang dengan Syarul

PELAKON, Mia Ahmad.

Pelakon Mia Ahmad, menafikan kehadiran pendatang baharu, Mira Filzah sebagai punca kerenggangan hubungannya dengan aktor, Syarul Ridzwan.

Mia, 27, atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi, berkata istilah renggang atau putus cinta itu tidak timbul kerana mereka berdua tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hubungan rapat mereka.

"Saya tidak pernah membuat sebarang kenyataan dan mengatakan kami menjalinkan hubungan cinta. 

"Kami masih lagi rapat dan berkomunikasi seperti dulu. Malah, kami baru saja tampil menjayakan sebuah majlis bersama-sama beberapa hari lalu.

"Kekangan masa menjadi punca kami tidak dapat meluangkan banyak masa bersama. Jadual kami yang padat membuatkan kami sukar untuk berjumpa kerana apabila dia 'shooting', saya lapang dan begitulah sebaliknya.

"Secara peribadi saya tidak mengenali Mira Filzah tetapi tahu bahawa dia adalah seorang pelakon baru yang sedang meningkat," katanya kepada BH Online.

Pasangan yang popular dengan drama `Hati Perempuan' ini juga dikatakan menjalinkan hubungan cinta dan sering kelihatan bersama biarpun selepas penggambaran drama berkenaan.

Sementara itu, Mia enggan mengulas lanjut apabila diajukan soalan tentang tindakannya tidak lagi memuat naik gambar bersama aktor Syarul di Instagram miliknya. 

Beliau ingin fokus kepada kerjaya dan bebas dari kontroversi.

Dalam perkembangan terkini, Mia sedang menjalani penggambaran drama bersiri 26 episod berjudul 2000KM Ke Al Haram. Beliau bakal ke Doha pada minggu hadapan untuk merakamkan beberapa episod akhir drama bersiri itu.

Mia berkongsi akan memulakan penggambaran telefilem untuk siaran TV3 arahan Tam Suhaimi yang menggandingkan beliau bersama penyanyi dan pelakon, Alif Satar.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment