Saturday 31 October 2015

Polis buru dua lelaki berhubung kes culik kanak-kanak di Sentul

Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes culik seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia di Kampung Padang Balang, Sentul di sini petang tadi. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes culik seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia di Kampung Padang Balang, Sentul di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata kedua-dua suspek dipercayai menculik mangsa yang berumur setahun dua bulan itu ketika dia sedang bermain di hadapan rumahnya.

"Kedua-dua suspek yang menaiki motosikal membawa lari mangsa. Susulan itu, kakak mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Setapak pada 6.30 petang Jumaat.

"Mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan selamat setengah jam kemudian oleh polis bersama penduduk kampung di perhentian bas di Batu 4, Jalan Gombak di sini," katanya ketika dihubungi.

Katanya mangsa dipercayai ditinggalkan suspek setelah mengetahui polis sedang mengesan mereka.

Mangsa kemudian dibawa ke Balai Polis Setapak sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.

- Sumber: Bernama | Oktober 31, 2015

No comments:

Post a Comment