Saturday 31 October 2015

iPhone 6S, 6S Plus - perang harga, rebat syarikat telco

MODEL menunjukkan iPhone 6S (kiri) dan 6S Plus pada majlis pelancaran telefon pintar terbaharu keluaran Apple itu di Blue Cube Sunway Pyramid, Petaling Jaya.

TIGA penyedia telekomunikasi utama negara - Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), Maxis Bhd dan Celcom Axiata Bhd, membuat pelancaran serentak dua telefon pintar terbaharu keluaran Apple, iaitu iPhone 6S dan iPhone 6S Plus.

Kempen pelancaran serentak di seluruh negara bermula tengah malam kelmarin itu menyaksikan perang harga, tawaran rebat dan promosi pra-tempahan dalam talian bagi menarik pelanggan baharu ke rangkaian masing-masing.

Digi muncul dengan tawaran iPhone 6S berharga RM1,776 dan iPhone 6S Plus pada RM2,201 serta rebat RM200 bagi pra-tempahan peranti berkenaan untuk pelanggan sedia ada dan rebat istimewa sehingga RM300 bagi pengguna luar yang bertukar ke rangkaian Digi.

Maxis yang menawarkan telefon pintar iPhone 6S pada harga RM1,990 di bawah Pelan MaxisONE, melaksanakan pendekatan promosi berbeza menerusi kempen 'penghantaran ekspres dalam tempoh 24 jam, tidak kira di mana pelanggan berada'.

Celcom pula menyediakan tiga pelan yang lebih menyeluruh, termasuk promosi serendah RM1,058 bagi iPhone 6S dan RM1,478 untuk iPhone 6S Plus dengan komitmen RM235 sebulan, selain tawaran terhad kuota data tambahan setiap bulan.

Jaminan kualiti 

Ketua Pemasaran Digi, Christian Thrane, berkata syarikat itu terus proaktif untuk menyediakan pengalaman terbaik kepada pelanggan dengan menyediakan hubungan rangkaian dan pengalaman liputan berkualiti kepada pelanggan.

"iPhone 6s dan iPhone 6s Plus adalah dua peranti yang hebat untuk pengguna mengalami sendiri pengalaman terbaik melayari liputan terluas 4G LTE yang disediakan Digi di seluruh negara," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, kelmarin.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Celcom Axiata, Zalman Aefendy Zainal Abidin pula berkata, tawaran pakej mampu milik disokong rangkaian berkelajuan ultra menerusi 4G LTE Celcom menawarkan kenikmatan kepada pengguna peranti pintar terbaharu Apple itu.

"Malah, sebagai jaminan kualiti jenama Celcom, kami turut menyediakan kejutan kepada pelanggan menerusi penghantaran eksklusif kedua-dua peranti pintar itu yang dilakukan oleh artis terkenal tanah air," katanya dalam kenyataan berasingan.

Ketua Perniagaan Pengguna Maxis, Dushyan Vaithiyanathan, berkata tidak ada perasaan yang lebih memuaskan apabila iPhone pelanggan dapat terus dihantar ke rumah dan dengan pantas. 

"Bagi kami, ia bukan hanya mengenai kepantasan penghantaran tetapi pengalaman pelanggan setiap kali kami berinteraksi dengan mereka. Ia termasuk mempunyai pengalaman 4G yang terbaik dengan telefon ikonik ini," katanya.

- Sumber: BH online 

No comments:

Post a Comment