Saturday 31 October 2015

Honor 7 pertaruhan terbaharu Huawei



HUAWEI semakin mendominasi dunia telefon pintar dengan teknologi terkini tetapi dipasarkan dengan harga mampu milik seperti telefon pintar Honor 7 keluarannya ini.

Honor 7 ditampilkan dengan skrin bersaiz 5.2 inci (13.2 sentimeter), sedikit besar berbanding Honor 6, selain membawakan rekaan unibody berasaskan logam. 

Pada bahagian hadapan, ia menampilkan elemen rekaan sama seperti Honor 6, tetapi pada kerangka belakang, ia membawakan rekaan logam yang selesa dipegang pada tangan. Dengan skrin bersaiz 5.2-inci juga, ia tidak begitu besar di tangan, mudah dipegang.

Keunikan lain Honor 7 yang menarik perhatian penulis adalah fungsi pengimbas cap jari. Jika sebelum ini banyak telefon pintar mahupun komputer peribadi mempunyai fungsi pengimbas ini tetapi selalunya ia tidak menarik dan berfungsi.

Berbeza dengan Honor 7, pengimbas cap jarinya sangat pantas ...sentuh saja sudah cukup untuk membuka aplikasi ataupun membuka telefon pintar bergantung kepada tetapan.



Pengguna hanya perlu memasukkan data cap jari terlebih dulu sebelum diimbas dan boleh digunakan. Hanya satu sentuhan pantas sudah cukup untuk menjayakan fungsi ini.

Tidak perlu lagi menaip kata laluan atau melakar corak untuk membuka telefon pintar, cukup dengan menyentuh di bahagian belakang telefon berhampiran dengan kamera untuk membuka telefon.

Satu lagi kelebihan sudah tentu kamera telefon pintar ini. Sesuai dengan sasarannya untuk golongan muda, Huawei memberikan kamera 20 megapiksel disediakan dengan sokongan LED dwi-tona. 

Penggunaan LED dwi-tona ini membolehkan gambar yang dirakamkan dipancarkan dengan cahaya yang sesuai sama ada putih atau kejinggaan berdasarkan kepada persekitaran. 

Selain itu, Honor 7 turut mempunyai penambahan baru iaitu Smart Key. Berada di sebelah kiri telefon, pengguna boleh menetapkan apakah yang ingin diakses ketika menekannya. 

Sebanyak tiga pilihan disediakan, iaitu untuk ketika menekannya sekali, dua kali, ataupun ketika tekan untuk seketika. Ini untuk memudahkan pengguna menekan Smart Key ketika ingin cepat mengambil gambar ataupun membuka aplikasi kegemaran.

Jika mereka yang mempunyai aplikasi keselamatan seperti siren atau SOS, penggunaan Smart Key dilihat sangat membantu. Hanya perlu menekan ketika kecemasan. 

Pengguna juga boleh mengubah bentuk navigasi pada bahagian bawah dengan mengubah kedudukan 'Home', 'Back' dan 'Multi-Tasking'. Honor 7 turut memikirkan mengenai mereka yang gemar menggunakan telefon pintar dengan sebelah tangan.

Hanya perlu menariknya ke bawah untuk menjadikan skrin kecil dan memudahkan menaip dengan sebelah tangan. Tapi harus diingat jangan pula menggunakannya ketika memandu.

Satu lagi fungsi baru adalah Voice Wakeup, membolehkan anda menetapkan suara, dan sekiranya anda tersilap letak telefon anda, anda boleh menyerunya, dan telefon anda akan menjawab. 

INFO Ringkas

  • Pemproses Kirin 935 2.2Ghz
  • Skrin 13.2 sentimeter HD Penuh
  • RAM 3GB
  • Muatan Dalaman 16GB
  • Kamera Utama 20 Megapixel
  • Kamera Hadapan 8-Megapixel
  • Bateri 3100mAh

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment