Tuesday 14 July 2015

Sembunyikan maklumat salah laku kerajaan juga satu jenayah - Tun M

TUN M: Bukan sahaja pihak yang mendedahkan maklumat perlu diambil tindakan, malah mereka yang menyembunyikan bukti juga turut melakukan jenayah.

KUALA LUMPUR: Bukan sahaja pihak yang mendedahkan maklumat perlu diambil tindakan, malah mereka yang menyembunyikan bukti juga turut melakukan jenayah.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam posting terbaharu bertajuk ‘Whistle-Blowers’ di blognya www.chedet.cc berkata tindakan menyembunyikan bukti jenayah perlu dibicarakan dan dikenakan hukuman.

“Bagaimana pula mereka yang enggan bersuara, menyembunyikan maklumat mengenai salah laku yang mereka ketahui. Mereka yang menutup cela!

“Undang-undang mengatakan mereka yang menyembunyikan bukti jenayah dianggap sebagai salah satu anggota jenayah. Mereka mampu membantu dan bersubahat dalam jenayah tersebut. Mereka juga perlu didakwa, dibicarakan dan dijatuhi hukuman,” ujarnya.

Jelas Dr Mahathir, tindakan menyimpan maklumat yang telah dikumpul dan hanya mendedahkannya apabila kes telah dibuktikan juga dianggap salah.

“Ada risiko dalam memberi maklumat. Bagaimanapun ada juga risiko menjadi pelindung, dalam membantu mahupun bersubahat,” katanya lagi.

Dr Mahathir dalam pada itu hairan dengan tindakan kerajaan yang mengenakan tindakan terhadap mereka yang menyalurkan maklumat berkenaan kepincangan dalam pentadbiran negara.

“Mereka (pemberi maklumat) ini bagus kerana membersihkan orang daripada melakukan kesalahan. Mereka mendedahkan penjahat ini dan membawa mereka ke muka pengadilan.

“Kerajaan kata pemberi maklumat perlu dilindungi. Ini kerana mereka baik untuk masyarakat kita.

“Kemudian golongan ini mendedahkan salah laku yang dilakukan oleh Ketua Kerajaan. Tidak semena-mena apa yang sebelum ini dianggap sebagai betul bertukar menjadi salah,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan dilapor sedang memburu dalang yang mendedahkan dokumen perbankan yang dikatakan ada kaitan dengan dakwaan penyaluran sejumlah AS$700 juta (RM2.67 bilion) ke akaun peribadi perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Susulan pendedahan itu, satu pasukan petugas khas telah dibentuk bagi menyiasat dakwaan yang diterbitkan akhbar The Wall Street Journal (WSJ) pada 2 Julai.

Panel pasukan penyiasat tersebut dianggotai Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

- Sumber: Blog | Astro Awani 

No comments:

Post a Comment