Tuesday 14 July 2015

Kes lepas 'Dr Kasanova' ditangguh 19 Ogos 2015

Tertuduh meninggalkan kamar mahkamah selepas prosidingm hari ini.

GEORGETOWN - Perbicaraan kes pegawai polis wanita yang diperintah membela diri atas tuduhan sengaja melepaskan seorang tahanan dikenali 'Dr Kasanova' ditangguh kepada 19 Ogos ini.

Mahkamah membenarkan permohonan penangguhan oleh peguam tertuduh, Danny C Navarednam bagi memperolehi seorang lagi saksi.

Danny memerlukan masa untuk mendapatkan saksi dan Majistret Dianne Ningrad Nor Azhar membenarkan permohonannya itu dengan menetapkan tarikh bicara disambung bulan hadapan.

Sebelum itu, dalam pemeriksaan balas Timbalan Pendakwa Raya, Charanjit Singh hari ini, tertuduh tidak bersetuju dengan semua keterangan yang dibuat oleh tahanan yang dilepaskan, K Prabaharan, 47.

Pada 21 Oktober 2013, Asisten Superintenden L Chandkumary, 58, mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan berhubung kes itu.

Tuduhan pertama didakwa sengaja melepaskan Prabaharan yang menghadapi kes penipuan pada jam 1.50 tengah hari di Kompleks Mahkamah Georgetown, 9 Oktober 2013.

Dia juga didakwa membuat laporan palsu di Balai Polis Timur Laut pada jam 8.05 malam hari yang sama berhubung insiden itu.

Bagi pertuduhan pertama, Chandkumary didakwa mengikut Seksyen 225A (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun, denda atau kedua-duanya manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 182 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment