Monday 13 July 2015

Polis tutup laluan ke Plaza Low Yat, 4 individu ditahan

Polis telah menutup beberapa laluan masuk ke Plaza Low Yat malam Ahad untuk mententeramkan keadaan.

KUALA LUMPUR: Pihak polis telah menahan empat individu kerana kesalahan mencuri dan merusuh berhubung insiden pergaduhan di Plaza Low Yat pada Sabtu.

Setakat ini, polis telah membuka dua kertas siasatan melibatkan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan merusuh dan mencuri, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa.

"Kami memberi jaminan akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil melibatkan kedua-dua pihak.

"Beri masa polis melengkapkan siasatan sebelum membuat apa-apa kesimpulan," katanya ketika ditemui di Plaza Low Yat malam Ahad.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat agar tidak percaya khabar angin yang disebarkan di media sosial.

Mengulas mengenai insiden kekecohan berhampiran Plaza Low Yat awal malam tadi, beliau berkata sekumpulan lelaki berkumpul di hadapan pintu besar pusat membeli-belah tersebut pada sekitar jam 8.30 malam.

"Seorang suspek ditahan hari ini kerana cuba memprovokasi kumpulan terbabit," kata Tajuddin.

Saksi berdekatan memberitahu bahawa kumpuan terbabit mula berkumpul sejak jam 6 petang dan bergerak ke arah pintu hadapan Plaza Low Yat pada sekitar jam 8.30 malam.

Polis tiba pada sekitar jam 9 malam untuk mententeramkan keadaan dengan menutup beberapa laluan masuk
ke tempat terbabit.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui laman Twitter berkata tiada pergaduhan atau rusuhan di Plaza Low Yat pada malam Ahad.

Beliau juga meminta pengguna laman sosial untuk tidak mempercayai khabar angin.

Tambahnya, insiden ini tidak melibatkan pergaduhan antara kaum, cuma dua pihak yang bertelagah.

"PDRM akan ambil tindakan terhadap kedua-dua pihak yang bergaduh. Ini tiada kena mengena dengan kaum. Cuma dua pihak yang bergaduh!" tweet beliau.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment