Monday 13 July 2015

Maybank perkenal pengesahan biometrik


KUALA LUMPUR - Maybank memperkenalkan penggunaan pengesahan biometrik bagi perbankan dalam talian melalui perkhidmatan 'Quick Touch' pada aplikasi Maybank2u.

Menurutnya, perkhidmatan itu membolehkan pelanggan mengakses akaun dan memeriksa baki mereka dengan menggunakan cap jari pada peranti mudah alih untuk pengesahan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Maybank berkata pendekatan itu merupakan sebahagian daripada strategi kumpulan untuk memperkukuhkan tawarannya dalam ruang digital dan memenuhi permintaan pelanggan bagi peningkatan keselesaan dan kepantasan transaksi.

Pengesahan biometrik baharu ini akan mempercepatkan akses kepada akaun sebanyak 70 peratus berbanding kaedah lama yang memerlukan penguncian konvensional nombor pengenalan peribadi (PIN) enam digit.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Malaysia Maybank, Hamirullah Boorhan, berkata lebih daripada 500,000 pertanyaan baki dilakukan setiap bulan memerlukan pelanggan memasukkan PIN setiap kali mereka mahu mengakses akaun masing-masing.

"Oleh yang demikian kami merasakan adalah penting untuk meningkatkan urusan pelanggan kami dengan menawarkan akses yang lebih cepat kepada akaun mereka.

"Dengan pengenalan 'Quick Touch', kami menyasarkan untuk meningkatkan pangkalan pengguna 'Quick Touch' kami sebanyak 20 peratus menjelang akhir tahun," kata Hamirullah.

'Quick Touch' kini boleh didapati melalui peranti iOS yang menyokong keupayaan biometrik seperti iPhone 5S, iPhone 6, iPhone 6 Plus, iPad Air 2, iPad Mini 3 dan jam tangan pintar terkini Apple yang membolehkan aplikasi mudah alih M2U dari Apple Store.

Maybank2u mempunyai lebih 7.8 juta pengguna berdaftar yang mengakses portal perbankan melalui komputer peribadi dan peranti mudah alih. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment