Wednesday 15 July 2015

23 jurujual didakwa beri kenyataan palsu

KUALA LUMPUR - Seramai 23 jurujual dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memberikan kenyataan palsu kepada seorang suri rumah menerusi peraduan cabutan bertuah bulan lepas.

Tertuduh yang terdiri daripada 19 lelaki dan empat perempuan itu didakwa secara berasingan. Kesemuanya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan.

Antara yang dituduh ialah Lim Chee Ping, 24, Yusuf Awang, 25, Choo Eng Ket, 38, Lee Kong Hoo, 19, dan Chee Juen Hoe, 26.

Mereka yang berusia antara 15 dan 46 tahun itu didakwa memberikan kenyataan palsu terhadap Kok Wai Fun, 59, berhubung peraduan cabutan bertuah untuk memenangi hadiah wang berganda atau setara dengannya menyebabkan Kok menyerahkan wang tunai RM100,000. Namun sebenarnya tiada hadiah yang setara ditawarkan.

Kesemua jurujual itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di pasar raya NSK Kuchai Lama, Brickfields di sini, pada 2 petang, 29 Jun lepas mengikut Seksyen 20(b) Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya.

Zulqarnain membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Ogos depan untuk sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlin Mohamad Yusoff dan 23 tertuduh berkenaan diwakili peguam Paul Krishnaraja. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment