Wednesday 15 July 2015

Asyik isu 1MDB, bila nak fikir kesusahan rakyat?


SHAH ALAM - Daripada asyik menumpukan perhatian terhadap skandal kewangan, kerajaan sebaliknya perlu merangka langkah untuk mengurangkan beban rakyat di negara ini.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ia adalah penyelesaian terbaik bagi mengekalkan sokongan rakyat terhadap kerajaan, selain membuktikan kerajaan mampu memahami kesulitan yang dihadapi rakyat.

“Memandangkan kita tenat dilanda krisis, amatlah munasabah GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) ditangguhkan kerana ia memberi kesan negatif ke atas rakyat.

“Kerajaan perlu beri perhatian penuh kepada kegundahan rakyat jelata yang terjebak dengan kegawatan ekonomi dan kewangan akibat kejatuhan nilai Ringgit serta gaji dan upahan bersih yang tidak seberapa,” katanya dalam satu kenyataan. 

Katanya, kerajaan juga boleh mengambil inisiatif dengan memperkenalkan percukaian lain yang tidak membebankan rakyat.

“Kita perlu mengatasi kesusahan rakyat jelata dalam usaha mereka menyambung hidup seharian di samping mencari penyelesaian terhadap kos sara hidup yang kian melambung,” ujarnya lagi.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan harga runcit minyak petrol dan diesel bagi Jun dinaikkan sebanyak 10 sen bermula tengah malam 1 Jun.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memaklumkan harga baru bagi RON95 ialah RM2.05 seliter manakala bagi bagi RON97 RM2.35 seliter termasuk GST 6 peratus dan diesel RM2.05 seliter.

“Tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian besar rakyat terpaksa bergelut setiap hari untuk terus hidup. Mereka risau akan masa depan anak cucu mereka. Mereka gelisah tentang mutu kehidupan yang semakin merosot.

“Sesungguhnya mereka berhak menikmati kehidupan yang lebih baik. Salah satu masalah sosio-ekonomi yang merunsingkan rakyat ialahtiadanya jaringan keselamatan kewangan untuk menjamin keselesaan ekonomi para pesara,” ujarnya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment