Wednesday 15 July 2015

'Siasat dakwaan Sarawak Report palsukan maklumat' - Rahman Dahlan



Sebuah laporan polis mendakwa terdapat satu video pengakuan yang dibuat oleh seorang individu yang mendedahkan beberapa nama pemimpin pembangkang yang didakwa bersengkokol dengan Clare Brown (gambar) dan Sarawak Report.

KUALA LUMPUR: Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman Dahlan menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberi perhatian khusus terhadap laporan polis yang dibuat pagi tadi.

Menurut Abdul Rahman, seorang pengadu membuat laporan polis tentang salah laku pengendali laman web Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Bukti baru yang dikemukan termasuk sebuah video pengakuan seorang individu yang terlibat secara langsung dalam perbuatan memalsukan fakta, penerbitan dan penyebaran fakta palsu di laman web tersebut.

"Saya juga memohon pihak polis untuk segera menghubungi rakan sejawat mereka dalam Interpol supaya individu-individu yang dinamakan dalam video pengakuan tersebut dapat disoal siasat oleh pihak Interpol dan polis United Kingdom (UK).

"Ini penting agar bukti-bukti lain yang masih dalam tangan atau pegangan mereka tidak dimusnahkan atau dialihkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan," katanya.

Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahandan Kerajaan Tempatan berkata, beliau telah dimaklumkan individu-individu warga British yang dinamakan dalam video pengakuan tersebut hanya akan memberi keterangan jika ada penyiasatan rasmi oleh pihak berkuasa di UK.

"Menurut kandungan salinan laporan polis tersebut, video pengakuan yang dibuat oleh seorang individu turut mendedahkan beberapa nama pemimpin pembangkang yang didakwa bersengkokol dengan Clare Brown dan Sarawak Report.

"Pendedahan ini perlu disiasat rapi oleh polis untuk mencari kebenaran dan keadilan kepada semua pihak yang terbabit dalam isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad)," katanya.

Abdul Rahman berkata laporan polis itu mendakwa Brown telah melakukan pemalsuan fakta berkaitan isu 1MDB, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, anak tiri Najib, Riza Aziz, PetroSaudi International dan isu-isu lain yang berkait rapat dengan 1MDB.

"Pengadu tersebut mendakwa beliau mempunyai bukti kukuh wujudnya niat jahat oleh pihak-pihak berkepentingan untuk melunaskan sebuah misi yang bergelar: 'Mission to criminalize Dato Seri Najib Tun Razak dan 1MDB'.

"Selain daripada itu, pengadu juga mendakwa niat jahat itu bertujuan untuk menjatuhkan nama baik dan maruah kerajaan dalam mentadbir urus negara, di samping bertujuan untuk memesongkan rakyat supaya membenci kerajaan," ujarnya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata beliau turut dimaklumkan bahawa pengadu juga telah menyerahkan kepada pihak polis, sesalinan emel yang didakwa telah ditulis oleh Brown.

"Antara isi kandungan emel yang bertarikh 1 Mac 2015 tersebut, Clare Brown telah didakwa menulis: Thanks! Yes it was quite a job!…. sitting up night after night cleverly ‘forging’ all those documents!!!!!”

Beliau berharap pihak Interpol, polis UK serta PDRM dapat menyiasat apa yang dimaksudkan dalam emel berkenaan.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment