MAS ERMIEYATI: Penangguhan pemilihan UMNO umpama masa tambahan untuk orang muda belajar daripada 'otai.' -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Keputusan penangguhan pemilihan parti selama 18 bulan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO dilihat masa tambahan golongan muda untuk belajar selok-belok parti demi memberi kepimpinan terbaik kepada rakyat.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia sekali gus membuktikan pentadbiran serta integriti parti dapat dipertingkat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak.
"Ia akan memberi ruang kepada orang muda belajar lebih banyak dan benar-benar bersedia untuk mengambil alih pentadbiran parti bila tiba masanya kelak.
"Pemimpin sedia ada juga akan mempunyai masa untuk menguatkan parti sekali gus mencurah ilmu penting demi mengekalkan kekuatan parti sendiri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mas Ermieyati mengulas keputusan Majlis Tertinggi (MT) pada Jumaat yang menangguhkan pemilihan UMNO.
Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, keputusan itu dibuat bagi memastikan kemantapan parti pada PRU ke-14 nanti.
Tambahnya, amalan itu juga dilakukan sama seperti yang dilakukan pada zaman bekas presiden parti sebelum ini.
"Pemilihan parti tahun hadapan akan ditangguhkan selama 18 bulan. Setelah kita dibincangkan, MT mengambil keputusan itu mengikut Fasal 10.16 Perlembagaan parti yang memberi hak kepada majlis tertinggi," kata Najib.
Selain itu Najib turut menjelaskan, pada masa kini, amat penting bagi UMNO untuk utamakan rakyat, keperluan rakyat, dasar dan akar umbi serta pengukuhan parti bagi menghadapi PRU akan datang.
Pada Sabtu, Bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan menangguhkan pemilihan UMNO yang dijadualkan pada tahun depan selama 18 bulan merupakan tindakan biasa, yang turut dilakukan sebelum ini.
Ujarnya, dia juga pernah menangguhkan pemilihan UMNO ketika memimpin parti utama Barisan Nasional (BN) itu berikutan beberapa sebab.
Dalam pada itu kata Mas Ermieyati, tidak timbul isu penangguhan kerana isu syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Kenapa hendak percaya khabar angin yang disebar pihak tidak bertanggungjawab mengenai punca penangguhan adalah 1MDB?
"Najib sudah menjelaskan faktor penangguhan semasa mesyuarat MT semalam, jadi semuanya sudah jelas dan kini tugas setiap ahli adalah memantapkan parti serta jentera untuk bersedia pada PRU ke-14," jelasnya.
Pada Sabtu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang berkata, keputusan penangguhan pemilihan UMNO tidak ada kaitan dengan kemelut 1MDB.
Jelas Tengku Adnan, keputusan tersebut dibuat selepas mendapat pandangan daripada akar umbi parti yang membangkitkan banyak isu yang timbul dalam parti.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment