Saturday 27 June 2015

Amanah Saham Didik agih pendapatan 6.60 seunit

Ahmad Sarji (kiri) dan Hamad Kama Piah menunjukkan pengagihan pendapatan ASD sebanyak 6.60 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2015.

PERMODALAN Nasional Berhad (PNB), mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Didik (ASD) sebanyak 6.60 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2015 melalui anak syarikatnya Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pengagihan pendapatan tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM336.53 juta berbanding RM313.66 juta yang dibayar tahun lalu.
"Jumlah tersebut meningkat sebanyak tujuh peratus dan pembayaran itu dijangka memberi manfaat kepada 318,221 pemegang unit yang telah melanggan 5.11 bilion unit ASD.

Oleh itu, ASD akan terus melaksanakan strategi bersesuaian dengan membuat pelaburan lebih teliti agar objektif tabung dapat dicapai bagi menghadapi keadaan ekonomi yang dijangkakan terus mencabar," katanya pada sidang media pengumuman pengagihan pendapatan ASD di Kuala Lumpur, kelmarin.

Menurut Ahmad Sarji, sehingga 23 Jun 2015, tabung ASD memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM446.77 juta yang disumbangkan menerusi keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat sebanyak RM246.65 juta atau 55.2 peratus.

"Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat pula menyumbang RM128.38 juta atau 28.7 peratus kepada jumlah pendapatan kasar tersebut diikuti RM71.74 juta atau 16.1 peratus diperoleh melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan.

"Kadar pengagihan pendapatan ASD yang sama seperti 2014 adalah berpatutan jika dibandingkan dengan instrumen-instrumen pelaburan lain yang sesuai dijadikan perbandingan, setelah mengambil kira ekonomi dan pasaran semasa," katanya.

“Bagi membolehkan pemegang unit menikmati pulangan pertumbuhan unit amanah ini, pembayaran pengagihan pendapatan akan dilabur semula dalam bentuk unit secara automatik,” katanya.

Pada majlis sama, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman mengumumkan pelaburan ASB2 menerusi Akaun 1 KWSP berkuatkuasa 1 Julai 2015 tertakluk terma dan syarat ditetapkan bagi Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP).

“Mengikut terma dan syarat SPA KWSP, ahli boleh melaburkan simpanan tidak melebihi 20 peratus setiap tiga bulan, daripada jumlah melebihi simpanan asas Akaun 1 mengikut umur,” katanya.

Menurutnya lagi, pengeluaran tersebut tertakluk kepada jumlah terkumpul had pelaburan maksimum ASB 2 sebanyak 200,000 unit.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment