Saturday 27 June 2015

Operasi restoran 24 jam kekal - Najib

Kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan operasi restoran dan kedai makan 24 jam bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada orang ramai. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan operasi restoran dan kedai makan 24 jam bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada orang ramai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata keputusan itu juga dibuat bagi mengelak kebimbangan dalam kalangan peniaga bahawa kerajaan menyekat waktu perniagaan.

"Keadaan yang diguna pakai sekarang ini nampaknya memberi keselesaan dan kemudahan kepada orang ramai, dan mereka yang berniaga pun mendapat rezeki yang sepatutnya diterima oleh mereka.

"Kalau kita menyekat waktu-waktu pembukaannya, ia akan menimbulkan banyak kesulitan kepada orang ramai," katanya kepada pemberita di Masjid Jamek Kampung Baru di sini, hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai berkata bahawa mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) akan membincangkan cadangan untuk mengehadkan waktu operasi kedai makan sehingga 12 tengah malam sebagai langkah membendung gejala sosial.

Perdana Menteri berkata beliau turut menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai mengenai perkara itu, yang membuatkan kerajaan mengambil keputusan mengekalkan pembukaan restoran dan kedai makan berkenaan.

Dalam pada itu, Najib berkata jemaah Masjid Jamek Kampung Baru dilihat berpuas hati dengan pembangunan semula masjid itu yang membabitkan kos lebih RM20 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan 1Malaysia Development Bhd.

"Saya dah sembahyang dua kali (di Masjid Jamek) bersama jemaah, keadaan jauh berbeza...lebih indah, selesa, lebih luas, tambah lagi masjid akan (guna) pendingin hawa dalam sikit masa lagi" katanya. 

Menurut perdana menteri, beliau berhasrat menjadikan masjid berkenaan sebagai satu mercu tanda dalam pembangunan semula Kampung Baru yang kini dalam perancangan.

Terdahulu, Najib menunaikan solat Asar di masjid itu sebelum mengedarkan kira-kira 1,200 bungkus bubur lambuk sumbangan peribadi beliau kepada orang ramai di pekarangan masjid.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment