Kematian David Faramola Oniya, kapten pasukan bola sepak T-Team malam semalam mengejutkan ramai.
Biarpun ia merupakan kes pertama seumpamanya dalam Liga Malaysia, ia sebenarnya bukan asing dalam kancah bola sepak dunia. Apa yang menjadi persoalan adalah kebanyakan kes-kes ini adalah disebabkan kegagalan fungsi jantung.
Sejarah kes kematian mengejut pemain bola sepak semasa perlawanan berlangsung sudah bermula sejak lebih 120 tahun yang lalu, dengan Anton Reid (pemain Walsal FC) menjadi pemain paling muda yang meninggal, iaitu pada usia 16 tahun.
Lima kematian di bawah melibatkan pemain bola sepak yang bukan sahaja ternama, malah masih muda dan berbakat besar.
ANTONIO PUERTA
Antonio Puerta - Foto AFP
Pemain Sevilla FC ini menyertai liga bola sepak profesional ketika baru berusia 13 tahun. Antara pemain muda yang menyerlah, bakatnya pernah menarik minat banyak kelab bola sepak terkemuka, antara Real Madrid, Manchester United dan Arsenal.
Pada tahun 2008, Puerta rebah ketika perlawanan antara Sevilla dan Getafe FC memasuki minit ke 35. Selepas diberikan rawatan, dia mampu berjalan ke bilik persalinan, namun sekali lagi rebah dan tidak sedarkan diri. Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi dan meninggal dunia tiga hari kemudian, pada usia 22 tahun kerana kegagalan jantung.
CRISTIAN GOMEZ
Cristian Gomez, dalam bulatan (Foto: Twitter AtleticoPrana)
Pemain pertahanan Atletico Prana ini rebah dan meninggal dunia sewaktu perlawanan menentang Boca Unidos, 24 Mei lalu. Sehari selepas kematiannya, rakan sepasukan Gomez, Ariel Bulay mendedahkan Gomez gagal ujian electrocardiogram, satu ujian kesihatan berkaitan jantung. Kata Bulay, Gomez memberitahunya ia satu masalah biasa yang 'boleh datang dan pergi'. Gomez, 27, dilaporkan pernah diarahkan untuk menjalani ujian lanjutan, namun dalam masa yang sama tetap diberi pelepasan bermain.
GREGORY MERTENS
Gregory Mertens, berjersi hitam (Foto: AFP)
Tiga hari selepas rebah dalam satu perlawanan pada 30 April lalu, pemain pertahanan kelab Lokeren ini meninggal dunia juga akibat kegagalan jantung. Baru berusia 24 tahun, Mertens antara pemain paling sinonim dengan skuad kebangsaan Belgium dan pernah mewakili skuad bawah 16, 19 dan 21 negara tersebut.
DANIEL JARQUE
Daniel Jarque (Foto: AFP)
Pemain kelahiran Barcelona berusia 26 tahun ini baru sahaja sebulan memakai armband kapten pasukan Espanyol sewaktu meninggal dunia. Tidak seperti kes-kes lain, Jarque meninggal dunia akibat serangan jantung ketika di bilik hotel, selepas satu sesi latihan pra-musim pada tahun 2009. Setahun selepas itu, rakan baik Jarque, Andres Iniesta, mendedikasikan gol kemenangan Sepanyol di Piala Dunia kepada Jarque, dengan memakai t-shirt tertulis "Dani Jarque siempre con nosotros" ("Dani Jarque, always with us").
MARC-VIVIEN FOE
Marc-Vivien Foe (Foto: AFP)
Antara kisah kematian di dalam padang yang sering disebut, pemain tengah Manchester City ini rebah ketika mewakili negaranya, Cameroon menentang Colombia pada tahun 2003. Anggota perubatan dan paramedik cuba sedaya upaya untuk memulihkan Foe, namun usaha selama 45 minit itu tetap gagal. Ujian autopsi menunjukkan kematian Foe adalah disebabkan oleh hypertrophic cardiomyopathy, satu masalah jantung yang boleh menyebabkan kematian mengejut ketika melakukan aktiviti fizikal.
Selepas kematian Foe, Manchester City mengumumkan penamatan penggunaan nombor 23, yang merupakan nombor jersi Foe ketika bersama kelab itu.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment