Wednesday 20 May 2015

Wakil rakyat BN dan Pakatan sokong cadangan Pandikar

Wakil-wakil rakyat daripada kerajaan dan pembangkang menyokong cadangan penambahbaikan Parlimen seperti yang diutarakan Pandikar Amin (gambar) semalam.

KUALA LUMPUR: Wakil-wakil rakyat daripada kerajaan dan pembangkang hari ini menyokong cadangan penambahbaikan Parlimen seperti yang diutarakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia (gambar), semalam.

Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad berkata, reform terhadap Parlimen perlu diadakan bagi mengembalikan Dewan Rakyat dan Dewan Negara di tempat sepatutnya.

Menurut beliau, seharusnya wujud satu garisan yang membezakan di antara eksekutif dengan Parlimen.

“Pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen pada 1992 menyebabkan kekaburan antara legislatif dan eksekutif,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen pada Rabu.

Menurut Shahrir, pemansuhan akta tersebut akan menyebabkan Parlimen seakan sama dengan jabatan kerajaan.

Beliau juga mencadangkan agar sebuah jawatankuasa kerja ditubuhkn bagi mengkaji cadangan Pandikar itu.

Katanya jawatankuasa yang terdiri daripada pengamal undang-undang, bekas anggota Parlimen serta bekas menteri itu mampu mengembalikan kebebasan dan akauntabiliti kepada institusi tersebut.

Sementara itu, Pakatan Rakyat menyambut baik kenyataan Pandikar yang tidak mahu Parlimen dilihat sebagai ‘rubber stamp’ yang berfungsi di bawah telunjuk eksekutif.

Dalam satu sidang media yang berasingan, Ketua Pembangkangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penambahbaikan Parlimen Pakatan Rakyat.

“Maka kami Pakatan Rakyat yang dipimpin Ketua Pembangkang dan dianggotai Ketua-ketua Whip serta seorang ahli parlimen mewakili setiap parti.

“Malah sebuah Jawatankuasa Rancangan Malaysia ke-11 Pakatan Rakyat juga sudah dipersetujui ditubuhkan,” katanya.

Tambah Wan Azizah, penubuhan dua jawatankuasa itu diharap dapat menjadikan tugas legislatif ahli parlimen Pakatan Rakyat lebih berkesan dan bertanggungjawab.

Kesemua ketua Whip Pakatan Rakyat, iaitu Datuk Johari Abdul (PKR), Anthony Loke Siew Fook (DAP) dan Datuk Mahfuz Omar (PAS) turut menyuarakan sokongan terhadap cadangan Pandikar.

Pandikar pada Isnin telah mengakui hasratnya meletakkan jawatan selepas perkara itu didedahkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Tindakan itu berikutan kekecewaan beliau terhadap institusi Parlimen, yang dilihat sebagai hanya ‘rubber stamp’.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment