Wednesday 20 May 2015

Parlimen lebih rendah daripada majlis perbandaran, PBT?

Anthony Loke pada sidang media di lobi bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR - Kedudukan institusi Parlimen didakwa lebih rendah berbanding sebuah majlis perbandaran di negara ini susulan kerajaan tidak berhasrat untuk mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.

Ahli Parlimen (DAP-Seremban), Anthony Loke menegaskan tindakan kerajaan yang lebih mengutamakan masa depan pegawai dan kakitangan awam berbanding Parlimen hanya akan mengancam kebebasan institusi itu di negara ini.

"Institusi Parlimen ini lebih rendah martabatnya dari sebuah majlis perbandaran di negara ini.

"Majlis perbandaran pun ada full service, kita lebih teruk dari majlis perbandaran, Majlis Perbandaran Seremban contohnya ada full service, pegawainya tidak boleh ditukar kepada mana-mana jabatan kerajaan.

"Tetapi pegawai Parlimen boleh ditukar ke jabatan kerajaan yang lain sedangkan mereka ini semua pegawai tadbir diplomatik," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam berhubung pertanyaan lisannya meminta perdana menteri menyatakan sama ada kerajaan bercadang untuk mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.

Bagaimanapun jawapan bertulis hanya menyatakan cadangan itu akan dipertimbangkan mengikut keperluan semasa kerana memberi ruang kepada pegawai dan kakitangan Parlimen untuk mengembangkan kerjaya masing-masing.

Mengulas lanjut, Anthony juga berkata, jawapan tersebut mengejutkan beliau sekaligus menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiada keinginan politik dalam pentadbirannya untuk mengembalikan kebebasan institusi Parlimen di negara ini.

"Alasan itu satu perkara yang melucukan di antara semua Parlimen dalam dunia, kita tak boleh menggunakan alasan itu.

"Ini amat tidak adil kepada institusi Parlimen, kalau ini berlaku, institusi Parlimen tidak jauh beza dengan majlis perbandaran," katanya.

Sementara itu, beliau juga mendesak Shahidan meletakkan jawatan sebagai menteri hal ehwal Parlimen berikutan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sudah hilang kepercayaan terhadapnya.

"Speaker sendiri mengatakan bahawa menteri yang menjaga Parlimen ini patut dimansuhkan, seolah-olah speaker tak boleh bekerjasama dengan menteri yang menjaga Parlimen ini.

"Sendiri punya kerja pun dia tak dapat jaga dengan baik, inikan pula mahu masuk campur urusan kabinet bayangan PR," katanya lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment