Wednesday 20 May 2015

Potong bayi: Pelaku individu dekat dengan bayi

Bahagian mayat ditemui termasuk kaki tangan dan badan bagaimanapun kepala gagal ditemui.

JOHOR BAHRU - Berdasarkan teori psikologi, pelaku bagi kes penemuan cebisan mayat bayi tanpa kepala yang dikerat 15 di loji kumbahan flat Projek Perumahan Rakyat (PPR), Taman Kempas Permai adalah individu paling dekat dengan bayi malang terbabit.

Pakar Psikologi yang juga Pensyarah di Klinik Kaunseling dan Psikoterapi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Syed Mohamed Shafeq Syed Mansor berkata, individu paling dekat dengan bayi baru lahir adalah ibu.

Menurutnya, berdasarkan kajian, biasanya ibu sanggup membunuh bayi yang baharu lahir disebabkan mengalami trauma atau ‘post natal blues’.

“Ada logiknya perempuan yang melalui ‘ketidakstabilan hormon’ sanggup bertindak luar jangkaan atau ekstrem disebabkan ingin menutup bukti kelahiran termasuk dengan cara memotong bayi terbabit.

“Hal ini boleh berlaku disebabkan banyak faktor termasuk sejarah keluarga atau genetik selain perasaan tidak tenteram bermula dari awal kehamilan sehingga selepas kelahiran,” katanya ketika ditemui media, semalam.

Ketika ditanya adakah pelaku sanggup melakukan perbuatan kejam termasuk memotong bayi yang baharu sahaja dilahirkan disebabkan faktor hamil luar nikah beliau tidak menolak dan mempunyai pandangan tersendiri.

“Pendapat saya, kes bayi dikerat 15 adalah membabitkan ibu muda yang masih belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu. Berdasarkan pemerhatian dan berita di akhbar tiada kes berkaitan seperti ini dilakukan wanita berusia 40 tahun ke atas.

“Pelaku sanggup membunuh bayi kerana berdepan dengan rasa ketakutan dahsyat kerana memikirkan bagaimana untuk berdepan dengan keluarga dan masyarakat sehingga sanggup bertindak luar kawalan,” katanya.

Katanya, pelaku juga sanggup mengetepikan perasaan seperti belas kasihan dan hanya memikirkan perkara logik seperti bagaimana memasukkan bayi terbabit dalam lubang tandas yang kecil untuk mengelakkan kejadian berkenaan diketahui orang lain.

Syed Mohamed Shafek memaklumkan disebabkan mentaliti dan pendekatan nilai yang salah dalam masyarakat menyebabkan stigma khususnya terhadap anak tidak sah taraf menyebabkan berlaku kejadian seperti ini.

Beliau yang juga Pengamal Pogram Neuro Linguistik bertauliah menegaskan pihaknya tidak menyokong kehamilan luar nikah, bagaimanapun isu ini memerlukan satu mekanisme yang perlu disediakan bagi mengelakkan kes berkenaan berulang.

“Dalam aspek psikologi, kita namakan sebagai sistem sokongan dalam masyarakat bertujuan membantu remaja hamil tanpa nikah daripada awal kehamilan bagi mengelakkan perasaan panik sehingga melakukan perkara di luar jangkaan," katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment