Wednesday 20 May 2015

Dron jadi kegilaan anak muda

Ahmad Fitri menunjukkan antara model dron yang mendapat sambutan.

Terdapat dron khas di mana aksesori boleh ditambah mengikut spesifikasi pengguna.

DRON atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) kini menjadi kegilaan masyarakat selain dijual dengan harga mampu milik yang boleh dibeli sesiapa sahaja.

Merupakan pesawat terbang tanpa pemandu, ia boleh dikawal menerusi dua cara sama ada alat kawalan jauh mahupun melalui komputer.

Umum mengetahui, sebelum ini dron hanya digunakan pasukan tentera dalam operasi pemantauan atau pengintipan dan melakukan serangan ke atas permukaan di kawasan musuh serta bagi mengelakkan kematian juruterbang.

Selain itu, dron juga digunakan oleh pasukan bomba dan polis dalam operasi mencari dan menyelamat, memadamkan kebakaran dan menyuraikan penunjuk perasaan.

Kini, dron mampu dimiliki sesiapa sahaja malah dijadikan sebagai hobi dan juga permainan. Namun, sudah pasti ia berbeza dengan yang digunakan pasukan khas. Ia lebih kecil dan bukan hanya sekadar alat permainan, malah boleh menjadi alat menghantar barang ke sesuatu tempat selain merakam visual melalui udara.

Perkembangan minat orang ramai terhadap permainan ini menyebabkan banyak syarikat mainan terutamanya dari China membangunkan dron pelbagai harga yang mampu dimiliki.

Ada yang berbentuk helikopter, pesawat pengebom, pesawat penumpang dan jet pejuang tetapi bentuk paling popular ialah quadkopter.

Dron jenis ini dijual pada harga antara RM80 sehingga RM20,000 bergantung kepada jenama, saiz, kualiti dan gajet yang disertakan.

Minat terbang di udara

Minatnya untuk terbang di udara menyebabkan Hamdee Hamdan,42, memilih dron sebagai hobinya.

“Saya dulu aktif bermain helikopter dan kapal terbang kawalan jauh sebelum bertukar kepada dron dua tahun lalu kerana ia semakin diminati.

“Nak terbangkan dron lebih mudah daripada helikopter selain boleh didapati pada harga yang murah sekitar RM80 sahaja. Budak-budak pun boleh menerbangkan dron ini,” katanya yang kini mempunyai 13 dron sebagai koleksi dan ada di antaranya berharga RM17,000 sebuah.

Katanya, dron mempunyai pelbagai fungsi dan kegunaan, namun perlu digunakan dengan betul.

“Dron ada banyak aplikasi seperti kamera untuk merakan visual, boleh juga untuk buat pemetaan kawasan dan ada juga syarikat yang menggunakan dron untuk buat penghantaran barang kepada pengguna mereka.

“Namun, ia harus digunakan dengan betul dan tidak melanggar undang-undang. Nasihat saya kepada yang baharu untuk berjinak-jinak dalam dron ini supaya mencari rakan-rakan yang boleh mengajar mengenai dron. Mereka juga perlu mengetahui tujuan mereka bermain dron agar dapat memilih dron yang sesuai untuk kegunaan mereka,” katanya.

Dia yang juga pengasas kumpulan peminat Drone Malaysia berkata, orang ramai juga boleh menyertai kumpulan itu bagi menambah pengetahuan mengenai dron.

Buat sendiri dron

Lain pula bagi Mohammad Hafiz Rahmat, 31, yang mencipta sendiri dron sesuai dengan fungsi yang dimahukannya.

"Minat kepada dron ini lahir kerana saya suka memasang alat-alat elektronik sejak kecil lagi. Dron ini boleh dipasang dan diubahsuai mengikut kehendak sendiri.

"Selain menerbangkannya, ia menjadi kepuasan apabila melihat dron yang dihasilkan adalah tercipta dari idea sendiri," katanya.

Kata Mohammad Hafiz, kebanyakan peralatan yang digunakan untuk menghasilkan dron diimport dari luar negara seperti China dan Amerika Syarikat.

"Saya belajar mengubahsuai dron ini daripada rakan-rakan yang sudah lama bermain dron. Daripada situ, saya turut mengambil tempahan daripada orang ramai untuk mencipta dron berdasarkan cita rasa masing-masing," katanya.

Permintaan semakin meningkat

Bagi penjual dron, Ahmad Fitri Paridin, 31 berkata, sambutan yang diterimanya begitu menggalakkan daripada masyarakat.

Menjual dron bagi peringkat permulaan, dia menjual dengan harga sekitar RM 35 hingga RM4,000 bergantung kepada model dan kegunaan.

“Saya mula jual pada penghujung tahun lalu kerana minat terhadap dron ini yang mampu merakam gambar di udara.

“Tahun ini, permintaan dron semakin meningkat berbanding tahun lepas berikutan masyarakat mula berminat untuk memilikinya,” katanya.

Dia turut menawarkan perkhidmatan servis dan alat ganti selain kelas bagi mengajar mereka yang masih baharu dalam hobi dron.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment