Wednesday 13 May 2015

Penyelia maut cerucuk besi tembus kepala

GEORGETOWN - Seorang penyelia tapak binaan maut selepas terjatuh dan tertusuk cerucuk besi sehingga menembusi kepalanya di Lebuh Farquhar di sini hari ini.

Mohd Fikri Mohd Khidi, 27, mati di tempat kejadian apabila besi sepanjang 0.3 meter itu tertusuk pada mata kirinya dan tembus sehingga ke belakang kepalanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai Mohd Rozairi Abdul Rahim berkata dalam kejadian 10.30 pagi itu, tangga tempat mangsa berpijak secara tiba-tiba terbalik menyebabkan dia terjatuh.

"Mangsa jatuh daripada ketinggian 2.4 meter dan ditemui dalam keadaan tertiarap di antara barisan cerucuk besi yang berada di atas lantai tapak binaan itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya terpaksa memotong sebahagian besi daripada bahagian belakang kepala mangsa untuk memudahkan tubuhnya dialih dari tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi berkata mayat lelaki dari Kulim, Kedah itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment