Wednesday 13 May 2015

Klip video 'Ringgit' Monoloque bawa mesej agar tidak jadi hamba duit


'Ringgit' merupakan single pertama bagi album kedua Monoloque yang berjudul Hikayat Halimunan Abad Ke 21 yang bakal diterbitkan pada Ogos nanti.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Monoloque pada Selasa mendedahkan video klip penuh bagi single terbaharunya yang diilhamkan daripada topik yang saban hari menjadi pokok perbualan dan rungutan rakyat Malaysia.

Diberi judul "Ringgit", video ini penuh dengan mesej simbolik, namun bak kata Loque selaku teraju utama kumpulan ini, mesej utamanya adalah memberi peringatan kepada ramai agar tidak menjadi hamba wang ringgit.

“Seperti lirik dalam lagu ini ‘Nak cari-cari duit di celah batu konkrit’. Ya, duit itu penting tetapi jangan sampai jadi hamba duit. Itu mesej utama video ‘Ringgit’ yang ingin saya sampaikan.

"Kisah yang bermula dengan pengembaraan dari desa ke kota serta turut diperlihatkan saya secara simboliknya bercakap dengan patung. Patung ini yang saya gambarkan sebagai hamba duit yang tak berjiwa,” terangnya ketika sidang media majlis pratonton video tersebut pada Selasa.

Klip video arahan Kadir Chan ini telah menjalani pengambaran di sekitar ibu kota dan turut membuat penampilan istimewa adalah pelakon Diana Danielle.

'Ringgit' merupakan single pertama bagi album kedua Monoloque yang berjudul ‘Hikayat Halimunan Abad Ke 21’ yang bakal diterbitkan pada Ogos nanti.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment