Wednesday 13 May 2015

Ayah Arka: 'Saya pernah bertempur dengan komunis'

Abdul Rani ketika wawancara bersama Sinar Online.

SHAH ALAM - Menceritakan pengalamannya bergelar seorang tentera, Abdul Rani Kulup Abdullah, 60, berkata, beliau pernah berdepan dengan komunis yang mengganas di negara ini.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) atau lebih dikenali dengan panggilan Ayah Arka berkata, beliau menyertai bidang ketenteraan ketika usianya masih muda dan sentiasa bertekad melindungi masyarakat sehingga kini.

“Saya menyertai tentera ketika umur saya 18 tahun, masa itu kita (negara kita) berkonfrontasi dengan komunis (PKM), seluruh negara tidak terkecuali kepada sabotaj komunis, di Perak Kedah, Kelantan, Pahang, termasuk Sarawak.

“Saya sendiri pernah bertempur dengan pengganas komunis di Gua Musang Kelantan, selepas itu, saya bertempur lagi di Kuala Kacau, dan Nibong,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Online.

Menceritakan dengan lebih lanjut, Ayah Arka berkata, pasukannya pernah berdepan dengan pengalaman ngeri terkena jerangkap samar yang dipasang oleh pihak musuh.

"Ia dalam satu misi yang dinamakan misi risik gempur, masa itu, memang ada pasukan khas dalam pasukan tentera. Selain pasukan komando, kita juga ada pasukan perisik.

“Saya kira saya sudah sertai lebih dari 65 operasi sejak saya berkhidmat dalam ATM. Segala pahit maung, asam garam, kepayahan dalam menentang komunis sehinggalah ancaman komunis dalam hutan sudah tidak ada," kongsinya.

Menurutnya lagi, selepas menyertai bidang tentera, beliau banyak menceburi bidang keselamatan awam sebelum mula berjinak-jinak dengan aktiviti pertubuhan.

“Saya masuk tentera dalam jangka masa 22 tahun. Selepas bersara saya bekerja sebagai pegawai keselamatan dan penyelia. Malah saya juga pernah bertugas sebagai pengawal keselamatan yang ditugaskan untuk mengawal dan mengiringi bahan letupan.

“Saya berhenti pada tahun 2003 dan sejak itu, saya banyak melibatkan diri dengan aktiviti pertubuhan. Pada masa itu, saya lihat banyak tekanan terhadap orang Melayu. Orang Melayu ini dihina dan ditekan, tapi tiada yang bangkit dan bangun bersuara. Oleh itu saya ambil tanggungjawab dengan membuat laporan polis sampai ke hari ini,” katanya lagi.

MJMM, NGO yang dipengerusikan Ayah Arka bukan sahaja terkenal dengan penampilan uniknya malah sudah membuat ribuan laporan polis dalam memperjuangkan hal-hal yang menyentuh agama Islam dan kedaulatan raja-raja Melayu.

- Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment