Monday 4 May 2015

Penampilan khas isteri A Rahman Hassan

Datuk A Rahman Hassan, Fadilah Mansor

KONSERT 50 tahun Orkes Nirwana - A Rahman Hassan yang diadakan pada 6 dan 7 Jun depan di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini buat julung kali akan menampilkan isterinya, pelakon Fadilah Mansor sebagai penyanyi.

Fadilah berkata buat pertama kali pada usia 54 tahun, beliau akan menyanyi di pentas berprestij itu.

"Kakak saya Faridah Mansor pada tahun 1970-an merupakan seorang penyanyi, tapi orang tidak mengenalinya, saya juga minat menyanyi tapi tiada peluang pada waktu itu," katanya kepada Bernama.

Katanya ketika ini beliau giat menjalani latihan menyanyi secara intensif bersama suaminya, Datuk A.Rahman Hassan, dengan iringan gitar.

"Saya bakal menyanyikan beberapa lagu termasuk Shurga Idaman lagu asal nyanyian Allahyarham Azizah Mohamad, lagu itu memang rancak, menari tu sikit-sikit bolehlah," katanya.

Azizah Mohamad adalah isteri pertama A.Rahman yang meninggal dunia akibat kanser pangkal rahim tahun lalu.

Sementara itu, A. Rahman berkata bakat menyanyi memang dimiliki isterinya dan beliau menyedari bakat itu sejak sebelum mereka berkahwin.

Mengulas mengenai konsert itu, beliau berkata peminat irama pop yeh yeh yang terkenal pada tahun 1960-an itu akan dihiburkan dengan alunan lagu-lagu malar segar seperti 'Tak Mengapa', 'Shurga Idaman', 'Semoga Berjaya', 'Bahagialah Hendaknya' dan 'Hanya Untukmu'.

Konsert ini bakal menampilkan tiga muka baharu iaitu Ilmi Rahman yang juga anak kepada A. Rahman sebagai penyanyi dan pemain tamborin, Azim Talha sebagai pemain drum serta Fadilah bagi mengisi kekosongan Allahyarham Azizah.

Orkes Nirwana turut dianggotai E. Elias serta B. Badrun sebagai anggota asal.

Artis jemputan turut diundang ialah Datuk Jefrey Din, The Cliffters (Rolling Stone of Singapore), Vernon Cornelius (Penyanyi utama, The Quest), A. Bakar (Cliff Richard of Johor), Maisya serta Maisarah.

Sebanyak 15 lagu akan didendangkan di konsert itu dan tiket yang dijual pada harga RM53, RM103, RM123, RM163, RM203, RM253, RM303 dan RM453.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment