Monday 4 May 2015

FB kutuk pemandu Myvi diwujudkan

Kemarahan orang ramai masih belum reda susulan laman FB kutuk pemandu Myvi diwujudkan.

SHAH ALAM - Kemarahan rakyat Malaysia terhadap tindakan pemandu Myvi dari kelab Familia Myvi Club yang memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian tiga sekeluarga, awal pagi Sabtu lalu masih belum reda.

Malah, sebuah laman Facebook khas diwujudkan dengan nama Familia MurderMyvi Club kelmarin sebagai medium kemarahan masyarakat kepada enam pemandu Myvi yang dikatakan terlibat dalam perlumbaan sehingga menyebabkan kemalangan mengorbankan pasangan suami isteri, Fairuz Nizam Husain, 35, Nova Safitri Azhari, 25, dan bayi mereka, Nur Firuza Annisa.

Sehingga jam 3 petang semalam, laman tersebut telah mendapat 15,000 like daripada pengguna Facebook.

Laman tersebut menjadi medan kepada orang ramai untuk meluahkan perasaan marah dan mahu pemandu Myvi terlibat dibawa ke muka pengadilan serta dikenakan tindakan sewajarnya.

“Kau orang lari ke mana pun. Sampai ke lubang cacing kami akan cari. Dunia ini kecil saja. Tunggu!,” tulis salah seorang pengguna akaun Facebook dengan nama Eyfa Danieya.

“Gantung terus lesen memandu. Jangankan kereta, basikal pun jangan bagi dia bawa. Membahayakan nyawa orang lain,” kata pengguna Butik Qaesara.

Seorang pengguna dengan nama Beeb Siti Baiti pula berpendapat kelab kereta perlu diharamkan kerana membawa banyak keburukan.

“Haramkan saja semua kelab-kelab kereta ini. Banyak buruk dari baik dah kebelakangan ini. Kelab motor pun sama,” katanya.

Laman tersebut turut digunakan untuk pengguna berkongsi maklumat terbaru mengenai kemalangan tersebut seperti video rakaman kamera litar tertutup (CCTV), laporan polis oleh saksi dan maklumat diri pemandu Myvi.

Manakala, di laman Twitter, hashtag MyviFamilia menjadi trending di Malaysia dengan rata-rata pengguna menyuarakan perasaan simpati terhadap keluarga mangsa terutama dua anak pasangan tersebut yang masih kecil.

“Kepada #MyviFamilia, mohon yang terlibat tampil untuk bertanggungjawab atas apa yang terjadi. Kesian dekat adik-adik ini,” tulis pengguna Twitter dengan akaun @ZaidDanialHarih.

“Berlumba berani, minta maaf tak berani? #MyviFamilia mereka dah meninggal, dah tak boleh ubah. Sekurang-kurangnya pergilah jumpa keluarga mereka, minta maaf,” kata seorang lagi pengguna akaun bernama @tengkudahlia.

Sementara itu, hasil carian di Facebook mendapati terdapat juga sebuah laman khas baharu diwujudkan semalam untuk menyokong ahli kelab Familia MurderMyvi Club dengan nama Keadilan untuk Familia Myvi Club.

Laman tersebut menyiarkan kata-kata positif agar ahli kelab Familia MurderMyvi Club terus bersatu walaupun menerima kecaman masyarakat.

Bagaimanapun, laman itu tidak terlepas daripada menjadi sasaran pengguna Facebook untuk melepaskan kemarahan.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment