Friday, 22 May 2015

'Menteri Pendidikan jangan malas tinjau sekolah pedalaman' - Dr Mohd Puad

DR MOHD PUAD: 'Menteri Pendidikan jangan malas tinjau sekolah pedalaman'

KUALA LUMPUR: Sikap malas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan punca sekolah di Keningau, Sabah serta beberapa lagi sekolah pedalaman masih berada dalam keadaan daif.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, sikap malas yang ditujukan kepada Muhyiddin selaku Menteri Pendidikan itu turut didedikasi kepada Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri, Datuk Mary Yap dan P Kamalanathan.

"Masih belum terbela. Ada orang 'posting' pada saya gambar sebuah sekolah di Keningau yang terlalu daif. Puncanya pegawai yang bertanggungjawab tidak turun ke bawah. Kenapa mereka tidak turun ke bawah? Kerana Menteri dan Timbalan Menteri juga malas turun ke bawah.

"Justeru, mereka tidak akan tahu apa yang berlaku di bawah. Bunyi cantik di atas. Kerajaan belanja berbillion untuk 1 Bestarinet, tetapi apakah disiasat keberkesanannya," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya.


Catatan di laman Facebook Dr Mohd Puad yang mengatakan Menteri serta Timbalan Menteri Pendidikan malas menjadi punca ada sekolah yang masih daif di pedalaman - Sumber gambar Facebook

Keningau adalah sebuah bandar yang terletak di kawasan pedalaman Sabah selain merupakan bandar kelima terbesar selepas Tawau dan Lahad Datu.

Bandar ini terletak bersempadan dengan Daerah Ranau dan Tambunan di sebelah Utara, Nabawan dan Tenom di sebelah Selatan, Tongod di sebelah Timur dan Papar di sebelah Barat sabah.

Keningau terletak di bawah pentadbiran Majlis Daerah Keningau di mana ia mempunyai pekan-pekan kecil yang berada di sekitar bandar seperti Apin-Apin, Bingkor, Sook, Nabawan dan Tambunan.

Selain itu kata Dr Mohd Puad, keadaan asrama dan rumah guru di pedalaman juga masih dikira masih daif dan tidak menerima tempias kemajuan sepatutmya.

"Sepatutnya bila Muhyiddin jadi Menteri Pelajaran hampir dua penggal, maka cepatlah terbela sekolah sekolah daif terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak.

"Turunlah ke bawah! Jangan banggakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 kalau 'level playing field' masih tidak sama," jelasnya.

Dr Mohd Puad pernah berjalan kaki selama lapan jam untuk sampai ke Sekolah Kebangsaan Saliliran di Sabah semasa menjadi Timbalan Menteri Pelajaran - Sumber gambar Dr Mohd Puad

Dalam pada itu, Dr Mohd Puad berkata, banyak perubahan yang dilakukan semasa dia menjadi Timbalan Menteri Pelajaran sebelum ini.

"Sebagai contoh saya terpaksa berjalan kaki selama lapan jam di dalam hutan untuk sampai ke Sekolah Kebangsaan Saliliran Sabah. Mula jam 4 petang dari hutan Sinapa dan sampai jam 11.50 malam.

"Itu yang patut diteruskan oleh kepimpinan di KPM. Saya sampai di semua PPD Sabah dan Sarawak. Banyak yang telah dan belum sempat dilakukan. Kenapa tidak teruskan?

"Memang mencabar termasuk terpaksa tidur di rumah panjang. Tetapi selagi menteri tidak turun, pegawai pun tidak akan turun.

Ada orang 'post' gambar tersebut dalam Facebook saya kerana mungkin saya pernah jadi Timbalan Menteri dulu. Maka tidak salah saya masukkan balik dalam FB saya dan minta diambil tindakan," jelasnya.

Ada penduduk kampung di pedalaman Sarawak yang memintanya meletak tangan di atas bancuhan simen sebagai bukti timbalan menteri pertama yang sampai di sekolah kawasan berkenaan - Sumber gambar Dr Mohd Puad

Selain itu ujarnya, antara kenangannya adalah permintaan orang kampung di sebuah sekolah pedalaman di Sarawak yang membancuh simen dan memintanya meletakkan tapak tangan di atas simen sebagai tanda ingatan.

"Saya adalah timbalan menteri pertama sampai ke sekolah berkenaan. Jadi pihak berkenaan harus menerima secara positif dalam keadaan jika mahu kerajaan yang ada kredibiliti," katanya.

Mohd Puad Zarkashi merupakan seorang bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, pernah dilantik sebagai Senator di Dewan Negara pada 2004, bekas Timbalan Presiden Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) dan bekas Timbalan Menteri Pelajaran sebelum dilantik menjadi Ketua Pengarah Jasa pada 2015. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a comment