Friday 22 May 2015

KWSP senarai ASB2 ke dalam Skim Pelaburan Ahli


KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menyenaraikan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) ke dalam senarai dana Skim Pelaburan Ahli (SPA).

"Dengan penyenaraian ASB2, terdapat sembilan dana yang ditawarkan di bawah SPA KWSP yang diuruskan Amanah Saham Nasional Bhd," kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Skim itu membolehkan ahli memindahkan sebahagian daripada simpanan mereka di Akaun 1 untuk pelaburan dalam dana unit amanah yang diluluskan melalui Institusi Pengurusan Dana (IPD), dengan menawarkan pilihan kepada mereka meningkatkan simpanan persaraan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (Pelaburan), Mohamad Nasir Ab Latif berkata, di bawah skim berkenaan, ahli boleh memindahkan tidak lebih 20 peratus pada setiap tiga bulan, daripada jumlah simpanan daripada Akaun 1 yang melebihi simpanan asas.

Ahli KWSP akan dimaklumkan mengenai tarikh kuat kuasa penyenaraian ASB2 ke dalam SPA KWSP. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas berkata, pemilikan ekuiti individu Bumiputera akan dipertingkat melalui pengeluaran simpanan daripada Akaun 1 KWSP untuk pembelian unit ASB2. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment