Keadaan kereta mangsa yang terbakar dalam kemalangan di LPT II. - Foto Sinar Harian oleh Nurul Zaila Mohd Tahir
HULU TERENGGANU - Seorang ibu tidak menyangka ciuman sepenuh hati daripada anaknya yang berusia 6 tahun pagi kelmarin sebelum mengikut sepupunya ke Kuantan adalah yang terakhir, setelah anaknya maut dalam kemalangan ngeri.
Zainab Wangai, 34, berkata, anaknya, Umar Rayyan Suhaimi salah seorang daripada empat mangsa kemalangan yang rentung dalam kejadian lebih kurang jam 4.30 petang kelmarin di Kilometer 386.6 LPT II (Ajil-Bukit Besi) setelah kenderaan dinaiki mereka terbakar selepas dirempuh lori.
“Melihat kelakuannya mencium saya sepenuh hati sambil memberitahu 'Sayang ibu’, terdetik juga kenapa dia agak pelik tetapi saya sekadar menganggap itu cuma telatah kanak-kanak. Rupanya itu ciuman terakhirnya pada saya,” katanya.
Menurut Zainab, pada mulanya Umar Rayyan agak keberatan menyertai rombongan bagi menghadiri majlis konvokesyen kakak sepupunya dipanggil Aya, 23, di Politeknik Muadzham Shah tetapi setelah dipujuk, anak tunggalnya itu akhirnya bersetuju.
“Umar sememangnya rapat dengan sepupunya itu dan entah kenapa tiba-tiba pagi tadi (semalam) dia memberitahu tak nak pergi. Namun, tidak mahu menghampakan harapan Aya yang begitu mengharapkan Umar pergi, saya pujuknya untuk sertai rombongan itu.
“Sebelum ke tempat kerja saya terlebih dahulu menghantar Umar ke rumah kakak lebih kurang jam 7.15 pagi. Sebelum berpisah, tidak semena-mena anak saya bukan sahaja memeluk erat tetapi juga mencium saya sepenuh hati hinggakan saya berasa agak pelik.
“Malah, dia turut mengulangi ‘Sayang Ibu’ dan ‘I love you’ beberapa kali. Rupanya ia pelukan dan ciuman terakhir untuk saya kerana ALLAH SWT lebih menyayanginya... ALLAH hanya meminjamkan Umar kepada saya cuma untuk enam tahun sahaja," katanya.
Menurutnya, walaupun terkejut apatah lagi Umar merupakan anak tunggal, namun dia reda dengan ketentuan Ilahi.
"Saya juga sepatutnya turut menyertai rombongan itu tetapi tidak dapat kelulusan cuti daripada majikan,” katanya.
Katanya, dia mendapat berita nahas itu lebih kurang jam 5 petang setelah mendapat panggilan daripada kakaknya yang memaklumkan Umar dan tiga lagi ahli keluarga lain telah tiada.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment