Sunday, 31 May 2015

Bermula tengah malam ini semua jenis minyak naik 10 sen seliter


KUALA LUMPUR - Harga runcit petrol RON95 dan RON97 serta diesel bagi Jun 2015 naik 10 sen seliter berkuatkuasa tengah malam ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, harga baharu RON95 ialah RM2.05 seliter, RON97 (RM2.35 seliter) manakala diesel (RM2.05 seliter).

"Harga tersebut berkuat kuasa mulai 12.01 pagi, 1 Jun ini," katanya ketika dihubungi Bernama. 

- Sumber:  Bernama

Saya punya #kipidap lagi popular daripada Ahmad Maslan' - Rani Kulup

RANI KULUP: Saya punya #kipidap lagi popular daripada Ahmad Maslan.

KUALA LUMPUR: Facebook 'troll' Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah dilihat lebih popular daripada yang dimiliki Datuk Ahmad Maslan kerana pengajaran yang terkandung di dalam laman itu sendiri.

Tegas Abdul Rani, walaupun laman itu dikendalikan 'peminat'nya, ia dilihat memberi lebih banyak teladan dan bermanfaat daripada laman Facebook 'troll' Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

"Peminat meletakkan aktiviti seharian saya selain bukan berniat memperlekeh. Bilangan 'like' juga jauh lebih banyak daripada Ahmad Maslan.

"Walaupun saya sendiri tidak mengenali pengendali laman itu, namun ia banyak membantu peminat-peminat saya untuk tahu aktiviti seharian yang dibuat MJMM.

"Ia sekali gus menaikkan nama MJMM dan memberi lebih promosi kepada banyak isu-isu negara yang harus diberi perhatian selain banyak laporan polis yang dibuat sebelum ini," katanya kepada Astro AWANI di sini.

Tinjauan Astro AWANI mendapati laman FB 'troll' 'Abdul Rani Kulup Fans' mempunyai lebih 105,000 'like' sementara 'Ahmad Maslan Fans' hanya mencatat 15,000 'like.'

Laman FB 'troll' 'Abdul Rani Kulup Fans' kini mempunyai lebih 105,000 'like.' -Sumber gambar Facebook

Sebelum ini, pakar motivasi Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah berkata mereka yang suka melakukan 'troll' atau mengeluarkan kenyataan bernada menyindir dengan tujuan provokasi dan menyebarkan keburukan orang lain menerusi media sosial merupakan golongan 'sakit jiwa.'

Kata Dr Mohd Fadzilah, golongan ini 'sakit daripada segi rohani', jahil agama, mungkin dipengaruhi kawan dan sewenang-wenangnya menyampaikan sesuatu perkara tanpa mengetahui kesahihannya.

Abdul Rani sebelum ini pernah memberi amaran kepada Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali untuk tidak memesongkan ungkapan barua yang ditujukan kepada anggota polis kononnya hanya kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Tegasnya, frasa barua yang diungkap memang ditujukan kepada semua anggota polis sekali gus menggambarkan Azmin seorang yang tidak bertanggungjawab.

Terbaharu, Abdul Rani menasihati Ketua Balai Polis Menglembu, ASP Chen Ah Kooy tidak terlalu berani dengan membuat video berdurasi 41 saat yang mengugut peminjam wang tidak berlesen atau ah long untuk tidak menggantung poster iklan pinjam wang terutama di sekitar Menglembu, Perak.

Ujarnya, tindakan itu, walaupun dibuat oleh seorang pegawai polis, boleh mengundang bahaya.

"Saya mahu menjadi ikon kepada masyarakat, biar semua tahu niat positif saya selain memberi pengajaran kepada anak-anak muda," katanya mengakhiri perbualan.

- Sumber: Astro Awani 

SUV ‘Urus’ akan menjadi model ketiga Lamborghini



Mungkin ada yang tidak menyedari bahawa walaupun Lamborghini adalah sebuah syarikat yang sudah lama terkenal, bahkan dianggap sebuah syarikat automotif yang cemerlang, pilihan kereta yang dijualnya hanya terdiri daripada dua buah model: Huracan dan Aventador.


Namun, setelah buat pertama kali dibayangkan oleh Lamborghini pada pameran kereta Beijing 2012, mereka akhirnya akan memperkenalkan model ketiga. Kali ini ia adalah sebuah SUV yang diberikan nama ‘Urus’. Model ini dijangka akan mula dijual pada tahun 2018.


Projek ini akan melibatkan kerjasama beberapa pihak terutamanya daripada Volkswagen AG dan Audi AG (kedua-duanya pemilik saham Lamborghini yang penting), Kementerian Pembangunan Ekonomi Itali, Invitalia (sebuah agensi kebangsaan Itali untuk pembangunan ekonomi dan pelaburan dalaman), wakil persatuan pekerja dan juga keseluruhan pasukan Lamborghini Automobili.

Antara yang sudah disahkan adalah model ini akan dipasang di kilang Lamborghini juga iaitu di Sant’ Agata, Itali. Dijangka bahawa syarikat akan membuat pelaburan sehingga jutaan Euro bagi penghasilan Urus baharu.



Oleh itu, saiz kilang sekarang yang sebesar 80,000 meter persegi akan ditambah kepada 150,000 meter persegi. Lamborghini juga berhasrat untuk menambah kakitangan sebanyak 500 orang.

Langkah ini tidak banyak bezanya dengan tindakan Porsche pada tahun 2002 apabila memperkenalkan model SUV mereka, Cayenne. Sejak itu, jumlah kereta yang dijual oleh syarikat Jerman itu bertambah secara mendadak, sehingga sekarang mencapai lebih kurang 180,000 unit setahun; satu angka yang hebat memandangkan Porsche masih lagi sebuah syarikat kereta ‘sport’.

Bagi Lamborghini, mereka menjangka akan dapat menjual sehingga 3,000 unit model Urus ini apabila dilancarkan kelak. Ini adalah menambah prestasi jualan syarikat sebanyak dua kali ganda.



Urus akan berkongsi banyak komponen dengan adik-beradik yang lain di dalam keluarga Volkswagen, khususnya Audi Q7 dan Porsche Cayenne. Ia akan mempunyai enjin V8 turbo menghasilkan 600hp yang memacu keempat-empat tayar.

- Sumber: Astro Publication 

Lelaki dipercayai penumpang putus kepala digilis ERL

Seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya maut dipercayai digilis keretapi KLIA Transit.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya maut dipercayai digilis keretapi KLIA Transit yang dikendalikan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) menghala ke Stesen Kuala Lumpur Sentral, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Chong Kok Sin berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 9.30 malam.

Beliau berkata polis telah mengambil keterangan daripada pihak ERL berhubung kejadian itu setelah dimaklumkan mengenainya oleh pihak syarikat.

"Hasil keterangan pemandu ERL terbabit mendapati dia mengaku ada melanggar 'objek' yang tidak diketahui di atas landasan.

Susulan itu, hari ini polis telah pergi ke tempat kejadian dan menemui sekujur tubuh yang tidak sempurna di landasan ERL," katanya ketika dihubungi Bernama.

Chong berkata polis menemui mayat tidak berkepala dengan kesan cedera parah di bahagian anggota badan akibat digilis.

"Pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian menemui kepala mangsa di dalam longkang berhampiran landasan," katanya. 

Selain itu, polis percaya mangsa merupakan salah seorang penumpang ERL berdasarkan sekeping tiket yang ditemui di tangan mangsa.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat.

"Bagaimanapun, polis akan meneruskan siasatan kes ini untuk mengenal pasti identiti mangsa," katanya.

- Sumber: Bernama

Jam tangan milik peribadi Agong dibida di karnival amal

Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

ALOR SETAR - Seorang ahli perniagaan berjaya membida koleksi jam tangan peribadi milik Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada acara lelongan amal barangan peribadi baginda di sini hari ini.

Pengarah Urusan Epic Valley Holding Sdn Bhd, Tan Sri Dr Fng Ah Seng berjaya membuat pembelian itu di Karnival Amal Hari Penyayang 2015 anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) di perkarangan Stadium Darul Aman.

Wang dari pembelian itu didermakan terus ke tabung yayasan berkenaan bagi membiayai projek tuisyen percuma Titian Bistari oleh YSB untuk murid-murid miskin yang berumur 10 hingga 12 tahun.

Tumpuan tuisyen ialah dalam subjek Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.

Dr Fng berkata ini merupakan kali ke-17 beliau melibatkan diri dalam Karnival Amal Hari Penyayang dengan niat untuk membantu golongan memerlukan.

"Saya akan simpan jam ini sebagai koleksi peribadi saya kerana bukan senang untuk mendapatkannya manakala barangan lain seperti lukisan bertajuk 'Sejambak Bunga' yang berharga RM8,000 akan saya sumbangkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Pada tahun ini saya telah membeli ais kepal dengan harga RM20,000 berbanding RM80,000 pada tahun lepas. Jumlah keseluruhun yang telah saya sumbangkan untuk tabung yayasan pada tahun ini berjumlah RM160,000 dimana jumlah barangan bidaan bernilai RM90,000, ais kepal RM20,000 dan sumbangan cek bernilai RM50,000," katanya kepada pemberita.

Anak jati Sungai Petani, Kedah ini berkata beliau menyokong usaha kebajikan yayasan itu yang dinaungi Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, lelongan amal tersebut yang dikendalikan Ahli Lembaga Amanah YSB, Datuk Nasir Mustafa bersama anggota kumpulan Senario, Lan Pet Pet berjaya mengumpul dana berjumlah RM377,000 hasil lelongan 20 barangan termasuk potret Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri.

- Sumber: Bernama

Mayat kanak-kanak lelaki telah disimen selama 8 minggu

Polis hari ini mengesahkan mayat kanak-kanak lelaki yang disimen dan mereput di lantai dapur sebuah rumah teres di Taman Usaha Jaya, Kepong telah ditanam selama lapan minggu. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengesahkan hasil siasatan mendapati mayat kanak-kanak lelaki yang ditemui disimen dan mereput di lantai dapur sebuah rumah teres di Taman Usaha Jaya, Kepong Jumaat lalu telah ditanam selama lapan minggu.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad ketika mengesahkan perkara itu berkata polis juga masih lagi meneruskan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian kanak-kanak yang dianggarkan berusia lapan hingga sepuluh tahun itu.

"Ketika ini polis masih lagi mengadakan bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak ini dan kes ini masih lagi dalam proses penangkapan," jelas Ali.

Menurut beliau, pihak polis telah pun menahan sepasang suami isteri untuk membantu siasatan.

"Polis telah menahan si suami semalam pada pukul 6.30 petang di sebuah restoran di Keningau Sabah.

"Manakala si isteri pula, polis telah menahannya di sebuah rumah di Penampang pada jam kira-kira 1 pagi tadi," tambah Ali ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad petang.

Beliau berkata, polis juga akan menjalankan ujian DNA ke atas pasangan ini bagi mengetahui hubungan mereka dengan mangsa.

Pada Jumaat, polis menemui satu mayat disimen dan mereput yang berbalut kaindi lantai dapur sebuah rumah teres di Taman Usaha Jaya, Kepong.

Mayat itu ditemui susulan kontraktor yang sedang mengubah suai rumah berkenaan memecahkan simen dapur itu berikutan terhidu bau busuk. 

- Sumber: Astro Awani

Menteri dicabar hidup bergaji RM900 selama 30 hari

Zuraida Kamaruddin

SHAH ALAM – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim dicabar supaya menjalani kehidupan biasa dengan gaji minima sebanyak RM900 untuk tempoh 30 hari.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, ia bagi merasai sendiri peritnya beban dan tekanan hidup yang terpaksa ditanggung oleh wanita bekerja yang berpendapatan minima dalam masa yang sama menanggung perbelanjaan dapur dan keperluan harian.

“Beliau (Rohani) pasti tidak pernah menikmati kesusahan dengan makan gaji. Kami ingin cabar beliau untuk hidup 30 hari sebagai seorang wanita yang memperoleh gaji minimum RM900 bersama-sama keluarganya.

“Kemudian setelah 30 hari berakhir, kami mahu beliau buat keputusan sama ada relevankah untuk mempunyai lebih ramai anak apabila kos kehidupan yang semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zuraida, setiap keluarga perlu memiliki kestabilan dari segi kewangan sebelum bersedia menerima tanggungjawab tambahan.

Menurutnya lagi, ia juga bagi mengelakkan timbulnya masalah yang tidak diingini dalam jangka masa panjang.

“Ia adalah satu fakta bahawa kadar kelahiran semakin berkurangan. Tetapi dalam pada masa yang sama, kualiti kehidupan harus juga dipertingkatkan.

“… Daripada memberi nasihat “tidak perlu terlalu tumpu pada kualiti hidup”, kerajaan perlu mengambil tanggungjawab untuk memastikan tahap kualiti kehidupan di Malaysia harus menjadi lebih baik,” katanya lagi.

Rohani ketika menjawab soalan daripada pertanyaan lisan di persidangan Dewan Rakyat di Parlimen awal minggu ini menyatakan bahawa kerajaan menggalakkan pasangan berkahwin di negara ini menambah bilangan anak bagi menyokong peningkatan populasi negara.

Menurutnya, kebanyakan keluarga didapati memiliki dua anak dan perkara itu dipengaruhi banyak faktor termasuk masalah lewat berkahwin dan kesuburan.

Kata Rohani lagi , keluarga yang ideal diunjurkan mempunyai antara tiga hingga empat anak, sehubungan itu, pelbagai usaha dan galakan dilakukan kerajaan bagi menggalakkan pasangan berkahwin mempunyai anak yang ramai.

- Sumber: Sinar Harian 

22 rangka manusia dikeluarkan dari Bukit Burma

Anggota forensik memeriksa mayat yang ditemui di kawasan berdekatan kem yang menempatkan pendatang asing di Bukit Wang Burma, Wan Kelian baru-baru ini.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 22 rangka manusia dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia dibawa turun dari hutan Bukit Burma di Wang Kelian, Perlis, berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, menurut polis.

Penolong Ketua Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) Polis Diraja Malaysia, ‎Datin Asmawati Ahmad berkata, rangka berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk proses patologi pada 9.45 malam tadi.

Katanya jumlah keseluruhan rangka mayat yang ditemukan setakat ini kekal 35 orang.

"Operasi menggali dan mengeluarkan rangka mayat akan diteruskan di lain-lain lokasi kubur yang telah dikenal pasti," katanya dalam kenyataan di sini.

Isnin lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, sepanjang 11 kilometer. 

- Sumber: Bernama

Saturday, 30 May 2015

Enam laluan tikus rentasi sempadan Malaysia- Thailand dikesan

Laluan tersebut telah diguna pakai ejen sindiket untuk pemerdagangan manusia yang dipercayai wujud sejak lebih 10 tahun lepas.

KANGAR: Kira-kira enam laluan tikus dikesan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand di Perlis yang dipercayai digunakan sindiket pemerdagangan manusia dan penyeludupan barang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Syed Omar Nor Mahizan Kasim berkata laluan tersebut telah diguna pakai ejen sindiket untuk pemerdagangan manusia yang dipercayai wujud sejak lebih 10 tahun lepas.

"Laluan merentasi sempadan Malaysia-Thailand ini telah disalah guna pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan sindiket yang asalnya digunakan oleh penduduk tempatan berikutan perhubungan persaudaraan ketika itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Antara laluan pintas bagi merentasi sempadan adalah Felcra Lubuk Sireh, Felda Mata Ayer, Ladang Tebu Chuping, Wang Kelian dan Kampung Syed Omar/Kampung Puju dan Bukit Batu Putih.

Tidak menafikan kekurangan kawalan keselamatan di sempadan, Nor Mahizan bagaimanapun berkata kekurangan itu bukan kelemahan pihak berkuasa tetapi kelonggaran yang diberikan atas faktor talian persaudaraan yang akrab antara kedua-dua negara.

"Bukan sahaja perhubungan antara penduduk tempatan dan warga Thailand tetapi juga perniagaan yang diusahakan penduduk kedua-dua negara di kawasan sempadan, jadi kelonggaran itu diberi.

"Namun pihak yang tidak bertanggungjawab telah mengambil kesempatan terhadap kelonggaran itu dan menjalankan sindiket pemerdagangan manusia yang kejam," jelasnya.

Nor Mahizan berkata laluan sulit di Kampung Syed Omar-Kampung Puju di Thailand adalah antara laluan digemari sindiket penyeludupan manusia sekitar tahun 1980-an.

"Laluan pintas merentasi sempadan itu adalah antara yang popular ketika itu ekoran keadaan pokok bakau yang tebal dan kebanyakan penduduk kampung memiliki dusun di situ.

"Jadi kawalan di situ memang tidak seketat laluan lain kerana kelonggaran diberikan kepada penduduk kampung yang memiliki dusun malah ada antara dusun mereka terletak dalam sempadan Thailand," katanya.

Menurutnya, laluan pintas itu juga antara laluan yang digunakan pada tahun 1970-an untuk penyeludupan binatang ternakan yang ketika itu Malaysia amat ketat dalam keselamatan makanan import. 

- Sumber: Bernama

Kolam renang ‘Devil Swimming Pool’ menyeramkan di Zambia



LUSAKA - ZAMBIA. Di persempadanan negara Zambia dan Zimbabwe, terdapat sebuah kolam renang yang sangat ‘menyeramkan’. Sehinggakan ia dikenali dengan nama ‘Devil Swimming Pool’ (Kolam Renang Syaitan).

Ia dikenali demikian kerana kolam renang itu dianggap paling berbahaya di dunia. Bayangkan! Kolam mini semula jadi ini terletak tepat di ‘bibir’ air terjun Victoria dan mempunyai ketinggian 128 meter serta seluas 1.708 meter per segi.

Kolam renang ini terbentuk akibat daripada hakisan air di kawasan itu , sehingga membentuk sebuah bulatan hingga menjadikan ia sebuah kolam renang mini semula jadi.

DISUKAI PELANCONG!

Pada musim hujan, pelancong dilarang sama sekali untuk bermandi manda di kolam tersebut, kerana tahapnya yang terlampau berbahaya.

Namun, pada musim kemarau, iaitu antara bulan September sehingga Disember, airnya agak surut. Saat itulah kolam ini boleh digunakan untuk berenang. Maka tidak mustahil ramai pelancong yang ‘berani mati’ untuk bermandi-manda di kolam tersebut walaupun risikonya sangat tinggi dan berbahaya.

Untuk pelancong mereka sentiasa diingatkan akan bahayanya kawasan itu, dan langkah-langkah berhati-hati perlu dititikberatkan untuk memastikan mereka sentiasa selamat.

AIR TERJUN VICTORIA

Air terjun ini juga telah diwartakan sebagai taman nasional di kedua-dua buah negara di mana ia dikenali sebagai Taman Nasional, ‘Mosi-oa-Tunya National Park’ di Zambia dan ‘Victoria Falls National Park’ di Zimbabwe.

Sementara penduduk setempat memanggil air terjun ini dengan nama Mosi-oa-Tunya, yang bermaksud ‘asap yang menggelegar’, kerana arus air yang deras seolah-olah membentuk sekumpulan asap putih yang tebal.

Nama Air Terjun Victoria diberikan oleh David Livingstone, seorang penjelajah dari negara Scotland. Menurut National Geography, pada tahun 1855, Livingstone “menemui” air terjun ini. 

Oleh kerana begitu terpesona melihat keindahan air terjun ini, lantas Livingstone memberikan nama Victoria. 

Nama Victoria diambil daripada nama Ratu Victoria, iaitu Ratu Inggeris yang ketika itu menjajah Zambia dan Zimbabwe.

- Sumber: Sinar Harian

Ngeri: Otak, cebisan tempurung bertaburan atas jalan

Kemalangan berlaku di Kilometer 277.7 LPT II di Cheneh.

KEMAMAN - Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT II) bagaikan jalan maut bagi pengguna apabila satu demi satu kemalangan yang meragut nyawa berlaku.

Ini berikutan tidak sampai seminggu nahas ngeri babitkan empat sekeluarga rentung manakala seorang lagi meninggal di hospital dalam kejadian di LPT II Ajil-Bukit Besi, satu kemalangan ngeri berlaku lagi hari ini.

Kali ini berlaku di Kilometer 277.7 LPT II di Cheneh mengakibatkan dua maut dan tiga cedera.

Dalam kemalangan tragis lebih kurang jam 1.45 petang itu, kepala seorang daripada mangsa pecah menyebabkan cebisan otaknya bertaburan di atas jalan dan rumput di pembahagi lebuh raya.

Menurut seorang pekerja peronda LPT II, Mohd Jefry Banu, walaupun dia sudah banyak kali membantu mangsa kemalangan ngeri di lebuh raya itu namun kali ini, hatinya benar-benar tersentuh.

“Biarpun saya sudah biasa bantu mangsa kemalangan ngeri, tapi kali ini buatkan saya rasa cukup sayu.

"Rasa sebak ketika kutip cebisan tempurung dan otak mangsa yang bertaburan atas jalan itu tak mampu diluahkan dengan kata-kata," katanya.

Kejadian itu berlaku ketika lima mangsa yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu.

Difahamkan kesemua mereka dari Shah Alam dan sedang menuju ke Kuala Terengganu untuk bercuti.

Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi kejadian tayar belakang kenderaan yang dinaiki itu pecah mengakibatkan kenderaan itu terbabas dan berpusing sebelum tiga daripada mangsa tercampak keluar.

Akibatnya, Syaiful Nahar Mokhtar, 40, dan sahabatnya, Khairuddin Yunus, 41, meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan parah.

Manakala seorang lagi yang tercampak, Shahrul Niza Mohamad, 29, turut cedera teruk di kepala sementara dua lagi rakan mereka, Rozaidi Ismail, 41, dan Salsuriya Selamat, 41, hanya cedera ringan.

Mohd Jefry berkata, ketika tiba di lokasi kejadian dia melihat cebisan mayat mangsa tidak jauh dari dua mayat yang terbaring kaku.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Normansah Din yang mengesahkan kejadian itu berkata, sebelum nahas itu berlaku MPV yang dinaiki mangsa memotong Perodua Myvi.

“Berdasarkan keterangan saksi kejadian iaitu pemandu Perodua Myvi, dia nampak tayar belakang MPV itu berasap dan pecah ketika MPV tersebut ada di depannya.

“Berikutan itu MPV itu hilang kawalan dan terbabas, ketika terbabas MPV itu dipercayai dua kali langgar pengadang besi kiri lebuh raya sebelum melanggar pula pembahagi tengah lebuh raya dengan tiga daripada mangsa tercampak keluar ke atas jalan,” katanya.

Katanya, tiga mangsa yang cedera kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan sementara dua yang maut dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama untuk dibedah siasat.

Dalam pada itu, suasana di Jabatan Perubatan Forensik bertukar hiba apabila adik Syaiful Nahar, Fahimi, 28, tiba di hospital lebih kurang jam 5.30 petang.

Fahimi, yang bekerja di Gebeng, Kuantan berkata, dia hanya mengetahui abangnya yang tinggal di Shah Alam itu mahu bercuti ke Kuala Terengganu selepas mendapat berita mengenai kemalangan itu.

“Apa yang buatkan saya sangat sedih sebab Allahyarham tak sempat lihat wajah anak keempatnya yang bakal lahir September nanti,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian

Friday, 29 May 2015

Pengerusi bersama Public Bank, Thong, meninggal dunia

Lembaga Pengarah Kumpulan Public Bank mengiktiraf mendiang (gambar) sebagai yang paling baik dalam kalangan yang terbaik, - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Pengerusi Bersama Public Bank Bhd (PBB) Tan Sri Thong Yaw Hong, 85, meninggal dunia pada Khamis setelah sakit untuk beberapa ketika.

"Kami amat bersedih atas kehilangan ini," kata Pengerusi PBB Tan Sri Dr Teh Hong Piow, hari ini.

Lembaga Pengarah Kumpulan Public Bank mengiktiraf beliau sebagai yang paling baik dalam kalangan yang terbaik, dan sumbangan beliau yang tidak ternilai sepanjang 29 tahun bersama-sama Kumpulan Public Bank, katanya menerusi satu kenyataan.

"Tan Sri Datuk Seri Utama Thong Yaw Hong akan sentiasa diingati kerana reputasi beliau yang mengagumkan dalam perkhidmatan kerajaan dan dunia korporat. Kami akan merindui beliau," katanya.

Thong dilantik sebagai Pengerusi Public Bank pada 1986 dan bertukar jawatan sebagai pengerusi bersama pada 2002.

Beliau pernah berkhidmat sebagai pengerusi bersama dalam beberapa syarikat dalam Kumpulan Public Bank, termasuk Public Islamic Bank Berhad; Public Investment Bank Berhad; Public Mutual Berhad; Public Financial Holdings Ltd, Public Bank (HongKong) Ltd dan Cambodian Public Bank Plc.

Dalam sektor kerajaan, Thong terlibat dalam bidang perancangan pembangunan sosio ekonomi dan kewangan.

Beliau berkhidmat dengan Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri sejak 1957 dan menjadi Ketua Pengarahnya dari1971 hingga1978 dan berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan dari 1079 hingga beliau bersara pada1986. 

- Sumber: Bernama

PM jawab isu Rohingya


SHAH ALAM - Satu penyelesaian di peringkat Asean dan kerajaan Myanmar perlu diwujudkan untuk menyelesaikan isu pelarian Rohingya.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, negara-negara lain seperti negara ketiga juga perlu memainkan peranan untuk membantu membanteras permasalahan ini di samping menghulurkan bantuan-bantuan kemanusiaan.

“Kita harap juga badan-badan seperti OIC dan juga PBB memainkan peranan masing-masing supaya masalah kemanusiaan yang begini serius dapat kita atasi,” katanya menerusi entri terbaru di blognya NajibRazak.com.

Dalam pada itu, ujarnya Malaysia telah membuat sebaik mungkin dalam membantu pelarian Rohingya.

“Saya akui, setelah melihat keadaan pelarian Rohingya, lebih-lebih lagi kanak-kanak yang merana akibat kelaparan, kehausan dan keletihan, saya telah membuat keputusan mengarahkan operasi menyelamatkan mereka di perairan kita.

“Kita juga turut menerima pelarian kaum Rohingya. Akibat itu, Malaysia, Thailand dan Indonesia telah menerima kesan daripada tragedi kemanusiaan ini. 

"Demi kedaulatan negara, kita tidak boleh membenarkan orang luar masuk ke sempadan kita dengan begitu mudah,” katanya.

Baru-baru ini, kita telah dikejutkan oleh penemuan kubur-kubur besar di kem memperdagangkan manusia di sempadan Perlis-Thailand di mana amat jelas bahawa pelarian Rohingya ini telah didera dan dizalimi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

- Sumber: Sinar Harian 

Thailand mulakan tindakan mahkamah dalam jenayah pemerdagangan manusia

Antara yang ditahan ialah bekas Ketua Lembaga Pentadbiran Wilayah Satun, Nai Pajuban Angchotipan atau Koh Tong, yang dikatakan sebagai ketua sindiket yang terbesar di Satun.

SONGKHLA: Seramai 48 orang tertuduh dalam jenayah pemerdagangan manusia di selatan Thailand mula dihadapkan ke mahkamah untuk tujuan pendakwaan pada Khamis.

Antara mereka ialah bekas Ketua Lembaga Pentadbiran Wilayah Satun, Nai Pajuban Angchotipan atau Koh Tong, yang dikatakan sebagai ketua sindiket yang terbesar di Satun.

Beliau menghadapi 12 tuduhan dan satu lagi tuduhan belum diumumkan kerana polis masih mengumpul bukti dan dokumen.

Timbalan Ketua Polis Bahagian ke-8, Mejar Jen Polis Pawin Ponsirint, sebagai Ketua Polis Siasatan Kes Pemerdagangan Manusia telah bermesyuarat bersama polis bahagian ke-9 di Pusat Operasi Polis Bahagian ke-9, daerah Hatyai, Songkhla sebelum memulakan pendakwaan.

Selepas selesai mesyuarat, pegawai polis dan pendakwa pergi ke Mahkamah Wilayah Natawi untuk membacakan tuduhan tambahan kepada 48 orang yang ditahan dalam penjara di Mahkamah Wilayah Natawi.

Tuduhan terbaru iaiah jenayah merentas sempadan kerana jenayah pemerdagangan manusia itu melibatkan pelbagai negara seperti Thailand, Myanmar dan Malaysia.

Tiga tuduhan awal yang dikenakan sebelum ini ialah pemerdagangan manusia, memberi bantuan kepada warga asing masuk ke Thailand secara haram dan menahan orang lain tanpa kebebasan dan untuk tujuan wang tebusan. 

- Sumber: Bernama 

Kanak-kanak ditembak ketika tunggang basikal

Sedutan rakaman rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika kejadian.

MASSACHUSETTS - AMERIKA SYARIKAT. Seorang kanak-kanak terkena tembakan semasa menunggang basikalnya, Ahad lepas.

Menurut ABC News, pihak berkuasa Boston meminta orang ramai membantu mencari suspek yang melepaskan tembakan terhadap Devan Silva yang berusia tujuh tahun.

"Jika anda ada maklumat dan tidak memberikan kepada kami, anda melindungi suspek.

"Orang yang bertanggungjawab melepaskan tembakan tersebut perlu dihukum," kata Ketua Polis Boston, Williams Evans.

Dalam sebuah video yang dimuatnaik, Silva sedang melalui bahagian hadapan kedai memotong rambut apabila peluru mengenai punggungnya.

Satu lagi peluru menembusi cermin kedai dan hampir mengenai kepala seorang pelanggan.

Silva yang dirawat di Hospital Kanak-kanak Boston kini beransur sembuh.

Difahamkan, terdapat sekumpulan lelaki di hadapan kedai terbabit namun sasaran sebenar tembakan tersebut gagal dikenalpasti.

- Sumber: ABC News 

Tahanan kem transit kena rogol, pukul sampai mati

Nurul Amin Nobi Hussein, 25, (kanan) menceritakan detik-detik dia melarikan diri dari kem transit di Wang Kelian, Perlis ketika ditemui Bernama di Alor Setar hari ini. - Foto Bernama

ALOR SETAR - "Dalam fikiran saya hanya ada satu sahaja - mati. Saya hanya mahu mati kerana mati lebih senang daripada hidup," menurut seorang pendatang Rohingya yang berjaya melarikan diri dari kem transit di Wang Kelian.

Bercakap secara eksklusif kepada Bernama hari ini, Nurul Amin Nobi Hussein (lelaki), 25, berkata, sepanjang dua bulan penahanannya di kem transit di Wang Kelian itu, beliau hilang segala harapan untuk hidup dan hanya memikirkan tentang kematian.

"Sepanjang dua bulan di dalam kem transit itu tahun lepas, saya dikurung seperti kambing dan ayam dalam kandang dan setiap masa dikelilingi oleh kematian. Setiap hari lima hingga enam orang daripada kami menemui ajal sama ada disebabkan penyakit atau dipukul dan ditembak," katanya.

Menurutnya, pendatang Rohingya bersesak-sesak di dalam apa yang disifatkan sebagai 'reban' kecil yang menempatkan sehingga 200 hingga 300 orang, dengan lelaki dan wanita diasingkan reban mereka.

Antara lima hingga enam pengawal yang berbahasa Thailand, katanya, berkawal 24 jam sehari mengawasi kira-kira 1,500 tahanan dengan bersenjatakan batang kayu, pisau, pistol dan senapang. 

"Tahanan tidak dibenarkan bercakap. Sesiapa yang bercakap akan dipukul. Pengawal sering melaungkan "sleep, sleep, sleep," mengarahkan kami semua supaya tidur dan tidak bercakap antara satu sama lain," katanya.

Nurul Amin berkata, 'reban' itu dipagar oleh batang-batang kayu dan didirikan di atas tanah lembut dan apabila hujan ia akan menjadi lumpur, di mana tahanan hanya diberikan lampiran plastik untuk membolehkan mereka duduk.

“Tahanan akan berdiri dan duduk di dalam lumpur air sekiranya kem transit dilanda hujan lebat, menyebabkan ramai dalam kalangan tahanan dijangkiti penyakit sehingga membawa maut.

"Ramai dalam kalangan tahanan Rohingya mengalami bengkak kaki akibat terlalu lama duduk dalam lumpur, menyebabkan mereka tidak boleh bergerak dan makan, dan seterusnya menemui ajal," katanya yang berasal dari Maungdaw, Myanmar.

Nurul Amin berkata, mereka hanya diberikan sedikit makanan iaitu nasi berlaukkan ikan bilis dan ubi untuk menahan kelaparan, menyebabkan ramai juga dalam kalangan mereka yang mati akibat kelaparan.

Menyifatkan apa yang berlaku di kem transit itu sebagai 'neraka dunia', dia berkata, terlalu banyak peristiwa ngeri dan menyedihkan yang tidak dapat dilupakannya selagi beliau hidup.

Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakannya adalah bagaimana pengawal-pengawal itu tanpa sebarang belas kasihan memukul sehingga mati kanak-kanak berusia 12 tahun hanya kerana keluarganya di Myanmar tidak mempunyai duit untuk membayar duit pembebasannya.

"Ada juga bayi yang baru berusia beberapa bulan mati kelaparan selepas ibunya yang sakit serta kelaparan gagal menghasilkan susu badan untuk anaknya.

Tidak lama selepas anaknya mati, wanita itu juga menemui ajal," katanya sedih. 

Selain itu, kata Nurul Amin, pengawal-pengawal terbabit turut merogol beberapa wanita itu.

"Kami boleh mendengar teriakan ketika wanita-wanita itu dirogol secara beramai-ramai oleh pengawal berkenaan. Apa yang lebih malang, ada antara wanita itu yang telah mengandung hasil perbuatan itu," katanya. 

Pengawal-pengawal tersebut disifatkannya lebih teruk daripada 'haiwan'. Dia mengambil keputusan nekad untuk melarikan diri kerana selepas dua bulan di kem transit itu merasakan kematian semakin menghampirinya disebabkan keadaan sekeliling serta tidak mempunyai sebarang duit untuk membayar sindiket.

Menurut Nurul Amin, anggota sindiket meminta bayaran daripadanya sebagai syarat untuk melepaskannya ke Malaysia dan jika gagal menjelaskannya, berdepan dengan penahanan lebih lama di kem transit itu dan akhirnya kematian.

"Saya tidak boleh membayar mereka kerana tiada lagi duit selepas menjual segala harta dan tanah untuk ke Malaysia. Mereka akan pukul saya sampai mati jika saya tidak membayar mereka," katanya.

Berdepan dengan kemungkinan ditahan lebih lama dan dipukul sehingga mati oleh anggota sindiket, beliau bersama-sama lima yang lain nekad melarikan diri pada jam 1 pagi selepas mendapati pengawal kem transit itu tertidur.

Beliau terpaksa merangkak ratusan meter dalam keadaan gelap-gelita, sebelum berlari ke dalam hutan, tanpa mengetahui arah tujuan. 

"Dalam apa juga keadaan sekalipun, jika saya gagal melarikan diri mereka (anggota sindiket) akan tembak mati saya atau jika terus tinggal dalam tahanan, saya akan dipukul hingga mati kerana tiada duit.

"Mati adalah lebih baik daripada hidup," kata Nurul Amin yang membayar RM6,500 untuk menaiki bot selama 22 hari dari Maungdaw ke sempadan Myanmar dan Thailand.

Setibanya di bandar sempadan itu, menurut Nurul Amin, pendatang Rohingya itu akan dibawa menaiki trak-trak pikap menuju ke selatan Thailand dalam perjalanan yang mengambil masa antara 10 hingga 11 jam. 

Sementara itu seorang lagi pendatang Rohingya, Mohamad Osman Nurul Amin, 22, pula menceritakan pengalamannya ditahan di sebuah lagi kem transit di kawasan hutan di Padang Besar, Thailand, tahun lepas.

"Ia adalah neraka. Setiap hari soal kematian sentiasa bermain dalam kepala saya. Pada ketika itu, kematian adalah jalan terbaik untuk menamatkan segala penderitaan," katanya.

Sama seperti Nurul Amin, beliau turut menjadi saksi pembunuhan dan kematian dalam kalangan tahanan Rohingya di tangan pengawal-pengawal kem yang kejam dengan memukul atau menembak mati menggunakan senjata api.

Bagaimanapun nasibnya lebih baik berbanding Nurul Amin kerana keluarganya berkemampuan untuk membayar sejumlah duit kepada sindiket yang bertindak membebaskannya selepas hanya sebulan ditahan di kem transit itu.

"Sehingga kini, saya masih tidak dapat menerima kenyataan bagaimana seorang manusia boleh berlaku begitu kejam kepada manusia yang lain," kata Mohamad Osman. 

- Sumber: Bernama

Thursday, 28 May 2015

Najib nafi beri dana permulaan RM500 juta kepada TIA


NAJIB: Kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Sepang bahawa TIA diberi dana permulaan sebanyak RM500 juta adalah tidak benar.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan kononnya kerajaan memberikan dana sebanyak RM500 juta kepada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya ditukar nama kepada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh pengurusan 1MDB kepada Kementerian Kewangan, kenyataan yang dibuat oleh Sepang (Hanipa) bahawa TIA diberi dana permulaan sebanyak RM500 juta adalah tidak benar.

“Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih TIA daripada kerajaan negeri Terengganu pada 25 September 2009 dengan harga sebanyak RM1,000,002.00 dan TIA seterusnya ditukar nama kepada 1MDB,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian sebagai menjawab soalan yang diberikan ahli Parlimen Sepang (PAS), Hanipa Maidin.

Hanipa dalam soalannya, meminta Najib menyatakan adakah TIA yang ditubuhkan pada tahun 2008 sebelum ditukar kepada 1MDB telah diberi dana permulaan sebanyak RM500 juta dan jika benar, apakah terjadi kepada dana atau modal tersebut.

- Sumber: Astro Awani

Gara-gara penerbangan tertangguh, juruterbang belanja piza

Delta Airlines menerima pujian daripada penumpang yang menyifatkan mereka berada dalam kelas tersendiri dalam menguruskan masalah sedemikian.

Syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Delta Airlines nampaknya punya cara yang efektif dalam menangani kemarahan penumpang apabila satu penerbangannya tertangguh.

Seorang juruterbang syarikat tersebut membelikan piza kepada penumpang selepas penerbangan pesawat terpaksa ditangguh, semalam.

Penerbangan Delta DL1346 dari Philadephia sepatutnya tiba di Atlanta namun tersadai di Lapangan Terbang Knoxville akibat keadaan cuaca di Georgia yang tidak mengizinkan sebarang pendaratan dibuat.

Penerbangan tersebut ditangguh selama tiga jam menyebabkan kapten juruterbang memesan piza untuk diberikan kepada penumpang yang resah.

Piza tersebut dihantar ke pesawat berkenaan menggunakan kereta bagasi (baggage cart).

Penerbangan Delta menerima pujian daripada penumpang yang menyifatkan mereka berada dalam kelas tersendiri dalam menguruskan masalah sedemikian.

Difahamkan, beberapa penerbangan Delta yang tertangguh dari Ohio, Illinois dan Mississippi juga diberikan layanan yang sama.

- Sumber: Astro Awani 

Remaja terselamat walaupun 42 minit berada dalam air

Gambar hiasan tali air di bandar Cuggiono di mana seorang remaja 14 tahun terjun bersama rakan-rakannya. - Foto: capolavoroitaliano.com

Ini kisah keajaiban yang berlaku kepada seorang remaja lelaki di Milan, Itali yang terselamat walaupun berada di dalam air selama 42 minit.

Remaja yang namanya dirahsiakan itu, sebelum itu bermain bersama rakan-rakannya dan terjun dari jambatan kayu ke dalam sebuah tali air yang terletak di bandar Cuggiono, barat Milan.

Namun apabila dia gagal naik semula ke darat, rakan-rakannya menghubungi pihak berkuasa yang segera menggerakkan proses mencari.

Remaja lelaki berusia 14 tahun itu ditemui jam 5.32 petang, tepat 42 minit selepas dia terjun ke dalam tali air tersebut.

Dia dikejarkan ke hospital di mana doktor menggunakan prosedur Extracorporeal Membrane Oxygenation untuk menyelamatkannya. Prosedur ini melibatkan penggunaan paru-paru tiruan di luar badan untuk mengepam darah beroksigen ke dalam badan.

Remaja berkenaan dibenarkan keluar dari hospital 10 hari kemudian. Namun kaki kanannya terpaksa dipotong kerana kerana masalah pada peredaran darah.

Pengarah Jabatan Anestesia dan Pemulihan di Hospital San Raffaela, Dr Alberto Zangrillo, memuji langkah kecemasan yang diambil petugas paramedik ketika di dalam ambulan menuju ke hospital.

"Ia peringkat paling penting dalam menentukan sama ada remaja itu boleh diselamatkan atau tidak," kata Dr Zangrillo. 

- Sumber: Astro Awani 

'Charlie Charlie Challenge' - cabaran memanggil syaitan di Internet


Gambar hiasan

SUATU cabaran baharu yang dikenali sebagai 'Charlie Charlie Challenge' yang viral di laman mikro Twitter pada akhir minggu lalu menyaksikan ramai pelayar teruja untuk mencubanya.

Menurut Mirror, dua batang pensel dan kertas yang ditulis dengan 'ya' dan 'tidak' diperlukan untuk memanggil syaitan yang dikenali sebagai 'Charlie'.

Cabaran tersebut yang hampir menyerupai pemujaan menggunakan papan permainan Ouija dikatakan menakutkan beratus-ratus pelayar yang bertindak merakam aksi mereka 'memanggil syaitan'.

Beberapa gangguan seperti jeritan dan bisikan halus, cermin pecah dikatakan mengganggu mereka yang mencuba cabaran ini.

Bagaimanapun, cabaran ini dianggap palsu dan hanya wujud untuk menakutkan pelayar-pelayar laman sosial. Menurut seorang pakar paranormal, Neil Dagnall berkata, 'memanggil syaitan' bukan satu perkara baharu.

"Ianya pelik, dan bukan jenis pemujaan yang saya pernah ketahui. Ia variasi dari pemujaan menggunakan papan Ouija," jelasnya.

"Pelayar saksikan perkara ini berlaku di internet, dan mereka mahukan sesuatu terjadi.

"Bila kita mahu ia terjadi, kita mula mengaitkan perkara yang berlaku di sekeliling kita dengan pemujaan tersebut," katanya yang berasal dari Manchester Metropolitan University.

Menurutnya lagi, Charlie Charlie Challenge hanyalah 'mainan akal'.

"Cabaran ini menjadi popular kerana media sosial," akhiri beliau.

- Sumber: Mirror

Didenda RM18,000 kerana beri perkhidmatan lucah

This summary is not available. Please click here to view the post.

Helikopter terhempas di Kota Kinabalu

Sebuah helikopter milik sebuah sekolah penerbangan terhempas ketika melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, kira-kira jam 11.50 pagi hari ini.

SHAH ALAM - Sebuah helikopter milik sebuah sekolah penerbangan terhempas ketika melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, kira-kira jam 11.50 pagi hari ini.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada kebakaran di bahagian enjin.

Menurut sumber, kejadian itu mengakibatkan seorang juruterbang wanita mengalami cedera ringan. 

“Wanita itu telah di hantar ke hospital oleh wakil sekolah penerbangan itu,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

12 anggota polis ditahan berkait sindiket pemerdagangan manusia

Tegas Khalid, tiada pihak yang terkecuali termasuk pihak berkuasa tempatan, Jabatan Perhutanan mahupun kakitangan kerajaan.

KUALA LUMPUR: Seramai 12 anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung sindiket pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia-Thailand.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, empat daripadanya ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala lapan lagi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak menolak kemungkinan pembabitan anggota keselamatan negara termasuk anggota polis dalam sindiket penyeludupan manusia yang bertanggungjawab atas kematian pendatang pelarian-pelarian yang ditemui dalam kubur besar di Wang Kelian, Perlis.

Tegas beliau, tiada pihak yang terkecuali termasuk pihak berkuasa tempatan, Jabatan Perhutanan mahupun kakitangan kerajaan sekalipun daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati mendalangi sindiket berkenaan.

"Saya tidak menolak kemungkinan penglibatan termasuk anggota polis pun kita akan ambil tindakan apabila kita ada cukup keterangan dan bukti. Tiada sesiapa yang terkecuali daripada tindakan undang-undang dalam perkara ini," kata Khalid dalam sidang media selepas mengadakan progran lawatan hospital di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-208.

Sejak penemuan kubur dan khemah pelarian berhampiran sempadan Malaysia-Thailand itu, beliau mengesahkan tiada lagi penemuan kubur atau khemah pelarian baru di kawasan terbabit.

"Kita tidak percaya ada lagi sebab kita telah buat screening dan combing yang menyeluruh daripada Tangga 100 hingga ke Kampung Y. Jadi kami yakin tiada lagi kubur atau khemah yang mungkin didirikan oleh pendatang," kata Khalid.

Tambah Khalid berikutan permukaan muka bumi berbukit di kubur dan khemah pelarian berkenaan yang mencabar, pihaknya sedang berunding dengan pihak berkuasa Thailand untuk menggunakan laluan darat melalui negara berkenaan.

"Keadaan muka bumi di tempat itu amat sukar untuk kita akses ke lokasi itu. Malah semalam ada pegawai daripada Jabatan Forensik yang cedera kerana jatuh tebing."

"Kita sedang berunding dengan pihak berkuasa Thailand untuk menggunakan laluan darat melalui Satun untuk membawa masuk kenderaan kami ke lokasi untuk mengangkut apa sahaja yang dapat ditemui. Tambah lagi sekarang musim hujan kami tidak dapat mengakses masuk ke kawasan itu," katanya lagi.

Tegas beliau, tiada pihak yang terkecuali termasuk pihak berkuasa tempatan, Jabatan Perhutanan mahupun kakitangan kerajaan sekalipun daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati mendalangi sindiket berkenaan.

Khalid juga tidak menolak faktor lokasi berkenaan dipilih sebagai transit penyeludupan manusia berikutan kawasan berkenaan yang berhutan serta berbukit dan tidak meliputi kawasan rondaan polis.

"Khemah didirikan dalam kawasan kita (Malaysia) sebab nak elak penguatkuasaan Thailand. Khemah berkenaan terletak 400 meter ke dalam kawasan kita dari sempadan."

"Mereka tahu bahawa kita tidak meronda kawasan itu sebab permukaan buminya dan mereka dapat berselindung dari pihak berkuasa Thailand kononnya ini kawasan Malaysia dan menjangka pihak berkuasa Thailand tidak akan ambil tindakan. Tetapi mereka silap."kata beliau. 

- Sumber: Astro Awani 

Wednesday, 27 May 2015

Najib jawab lagi kritikan GST, dakwaan Tun M


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjawab lagi kritikan yang dibuat terhadap beliau dan kerajaan, dengan memberi fokus kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dan dakwaan yang disuarakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam catatan terbaru beliau melalui blog NajibRazak.com, Najib berkata: "Ia adalah sambungan kepada FAQ (soalan lazim) sebelum ini." 

Pada 17 Mei, Najib menyenaraikan 13 tuduhan dan dakwaan berkenaan serta respons beliau melalui blog itu, antaranya tuduhan berkaitan isu Altantuya dan 1MDB.

Dalam respons beliau mengenai kritikan terhadap GST, Najib berkata: "Saya faham bahawa beberapa kebimbangan disuarakan mengenai GST yang diperkenalkan. 

"Bagaimanapun, sebagai perdana menteri, adalah tanggungjawab saya untuk membuat keputusan yang betul bagi seluruh rakyat Malaysia, walaupun ia mungkin kelihatan sukar ketika ini. 

- Sumber: Bernama

'Perkara ini tidak perlu dipanjangkan' - Amy Search

Laman Facebook menjadi medan perluahan pendapat apabila pakar motivasi, Muhammad Lukman bertindak mengherdik kumpulan Search.

KUALA LUMPUR: Laman Facebook menjadi medan perluahan pendapat sejurus seorang pakar motivasi bertindak mengeji kumpulan pemuzik popular Malaysia.

Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad bertindak menggelar kumpulan Search sebagai ‘hantu’ dalam salah satu muat naiknya di Facebook sekitar dua hari lalu.

Komen yang diutarakan oleh pakar motivasi terbabit adalah mengenai persembahan kumpulan Search ketika sambutan Festival Belia Putrajaya pada 24 Mei lalu.

Walaupun Muhammad Lukman telah memadamkan posting terbabit namun Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) itu tetap dirundum reaksi negatif daripada peminat kumpulan rock lagenda berkenaan.

Vokalis kumpulan Search, Amy memuat naik posting Muhammad Lukman di laman Instagramnya diselangi dengan lirik lagu, Meniti Titian Usang.

Foto – Instagram Amy Search

Tindakan pemilik nama penuh Suhaimi A.Rahman ini dilihat sebagai satu cara terbaik untuk menegur tindakan Muhammad Lukman.

Astro AWANI berkesempatan untuk menghubungi isteri kepada Amy Search iaitu Nourish Hassan bagi mendapatkan reaksi penghibur berusia 56 tahun itu.

Menurut Nourish, Muhammad Lukman ada menghubunginya pada pagi Selasa untuk memohon maaf.

Nourish yang juga individu bertanggungjawab menguruskan karier suaminya menyatakan bahawa Amy tidak mahu perkara ini diperbesarkan kerana beliau sudah memaafkan Muhammad Lukman.

“Sepanjang saya mengenali Amy, dia memang seorang yang pemaaf.

“Ini adalah satu perkara yang kecil dan Amy berharap supaya tiada pihak yang terus memanjangkan cerita,” ujarnya.

Muhammad Lukman menerusi muat naik di laman Facebook motivasilukman.com bertarikh 26 Mei memohon maaf kepada peminat-peminat Amy dan kumpulan Search yang tersinggung dengan kenyataannya sebelum ini. 

- Sumber: Astro Awani 

Peguam Kenya mahu pinang anak Obama dengan lembu, kambing, biri-biri

Felix Kiprono, yang juga seorang peguam, menawarkan 70 ekor biri-biri, 50 ekor lembu dan 30 ekor kambing sebagai hantaran mengahwini anak sulung presiden Amerika Syarikat itu, Malia

Seorang warga Kenya berhasrat meminang anak perempuan Presiden Barack Obama dengan menawarkan mas kahwin berupa haiwan ternakan, lapor sebuah akhbar di negara itu.

Lelaki itu, Felix Kiprono, yang juga seorang peguam, menawarkan 70 ekor biri-biri, 50 ekor lembu dan 30 ekor kambing sebagai hantaran mengahwini anak sulung presiden Amerika Syarikat itu, Malia.

“Saya menaruh hati kepadanya sejak 2008,” kata Kiprono dalam satu wawancara dengan akhbar The Nairobian.

Obama ketika itu bertanding merebut jawatan presiden dan anak perempuannya itu pada masa itu berumur 10 tahun. Malia kini berumur 16 tahun.

“Saya malah tidak pernah keluar dengan sesiapa sejak itu dan berjanji akan setia kepadanya. Saya sudah kongsikan hasrat hati ini dengan keluarga saya dan mereka sedia membantu saya mengumpulkan maharnya,” kata peguam itu.

Kiprono bercadang memaklumkan isi hatinya itu kepada Obama apabila presiden Amerika itu melakukan lawatan rasmi ke Kenya pada Julai ini.

Ini adalah lawatan pertama Obama ke negara asal ayahnya sejak beliau jadi presiden. Ahli keluarga Obama termasuk neneknya yang sekarang berumur dalam lingkungan 90 tahun masih ada di Kogelo, sebuah bandar di barat Kenya.

Menurut Kiprono, beliau akan menulis surat kepada Obama meminta agar Malia ikut sama dalam lawatan tersebut.

“Saya harap pihak kedutaan (Amerika) akan menyampaikan surat itu,” katanya.

Kiprono menafikan dakwaan bahawa beliau mahu mengambil kesempatan atas harta keluarga Obama dan mengatakan beliau melakukan semua ini kerana “cinta sejati”.

Peguam itu juga membayangkan kalau pinangannya diterima, mereka akan hidup sederhana dan beliau akan mengasuh Malia untuk jadi seperti wanita suku Kalenjin tradisional yang lain – memerah susu lembu dan memasak makanan tradisi.

-- Sumber: Agensi 

Boleh tahan! Jumlah aset 1MDB berakhir 31 Mac sebanyak RM51.4 bilion

Parlimen: Jumlah aset 1MDB berakhir 31 Mac sebanyak RM51.4 bilion

KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang telah diaudit untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014 sebanyak RM51.4 bilion, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Ia merangkumi aset semasa bernilai RM19.5 bilion dan aset bukan semasa RM31.9 bilion, demikian menurut jawapan bertulis kepada soalan Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) yang meminta Menteri Kewangan menjelaskan mengenai perkara itu.

Jawapan itu menyebut 1MDB mempunyai kedudukan aset-aset yang kukuh, antaranya tanah untuk pembangunan Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia di Kuala Lumpur.

Aset lain ialah tanah di Pulau Pinang seluas 94.69 hektar (234 ekar) serta 13 loji jana kuasa dan penyahgaraman di lima negara.

"Nilai aset-aset 1MDB disokong oleh laporan penilaian atau nilai buku yang telah disahkan oleh juruaudit bebas (Deloitte)," menurut jawapan itu.

Menurut jawapan bertulis kepada soalan Tony Pua Kiam Wee (DAP-Petaling Jaya) juga ditujukan kepada Menteri Kewangan, perjanjian antara 1MDB dan International Petroleum Investment Corporation (IPIC) dibuat secara bebas, dengan terma-terma komersil yang mengikut piawaian pasaran.

Ini berdasarkan maklumat yang dikemukakan pihak pengurusan 1MDB kepada Kementerian Kewangan.

"Pengumuman yang sewajarnya akan dibuat apabila nilai muktamad penebusan opsyen diselesaikan dan akan dilaporkan dalam penyata kewangan beraudit akan datang," kata jawapan itu.

Pua bertanyakan sebab 1MDB memperoleh jaminan daripada IPIC untuk terbitan-terbitan bon berjumlah US$3.5 bilion yang menurutnya mengenakan syarat-syarat yang begitu menyeksakan.

Ia juga bertanya jumlah yang dibayar 1MDB untuk menebus opsyen yang diberi kepada anak syarikat IPIC, Aabar Investment PJS. 

- Sumber: Bernama 

Mayat berkapan ditemui di hutan Wang Kelian

Anggota forensik memeriksa mayat yang ditemui di kawasan berdekatan kem yang menempatkan pendatang asing di Bukit Wang Burma, Wan Kelian baru-baru ini.

WANG KELIAN - Mayat kedua dipercayai mangsa aktiviti sindiket pemerdagangan manusia dikeluarkan daripada satu dari 139 kubur yang ditemui di hutan bukit Wang Burma bersempadan dengan Thailand di sini, hari ini. 

Mayat lengkap berkapan ditemui pasukan forensik polis setelah menggali satu kubur sedalam 0.4 meter di satu tapak yang dijadikan kem seluas kira-kira 50 meter persegi dan dibawa keluar pukul 4.10 petang tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Rizani Che Ismail pasukan forensik tidak membuka kain kapan. Mayat itu terus dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat. 

"Melalui siasatan yang dibuat, polis percaya 37 struktur yang ditemui dalam tapak tersebut adalah kubur namun hari ini hanya satu kubur sempat digali," katanya pada sidang media di Markas Taktikal Pasukan Gerak Am (PGA) di sini, hari ini. 

Polis hari ini turut membenarkan 63 orang wartawan tempatan dan asing yang berkumpul di markas itu sejak semalam menyertai pasukan forensik dan PGA mendaki bukit Wang Burma untuk melihat kem-kem haram yang ditinggalkan oleh sindiket pemerdagangan manusia.

Pendakian mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai di kawasan kem itu melalui jalan yang telah dibersihkan oleh PGA bagi memudahkan pasukan forensik dan penyiasat naik. 

Tinjauan media mendapati tapak atau kem itu berada di lereng-lereng bukit yang curam serta jauh dalam hutan dan tidak mungkin disyaki terdapat aktiviti di kawasan terbabit. 

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia antara Kampung Wai di Kuala Perlis sehingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, sepanjang 11 kilometer.

Mayat pertama yang dibiarkan mereput di atas tanah ditemui di satu dari tapak berkenaan telah dibawa keluar petang semalam dan dihantar ke HSB untuk dibedah siasat. 

Rizani berkata, operasi menggali semua kubur akan disambung esok dan dijangkakan akan selesai dalam tempoh tiga minggu lagi. 

Menurutnya kedudukan kem-kem berkenaan di kawasan curam pada ketinggian melebihi 400 meter dan hampir 500 meter ke puncak bukit yang menjadi garisan pemisah sempadan Malaysia/Thailand menyukarkan operasi dan kerja menurunkan mayat. 

Beliau yang diasak oleh wartawan yang ingin mengetahui mengenai tangkapan terbaharu hasil siasatan polis berkata: "Perkara ini menjadi tanggungjawab pihak atasan." 

"Saya diarahkan memberi maklumat mengenai operasi di sini sahaja. Kita tidak boleh memberi anggaran berapa mayat yang ditanam sehingga semua kubur digali namun siasatan kita tidak terhenti di sini. Jika ada penemuan (kubur) baharu kita akan maklumkan," katanya.

- Sumber: Bernama

Ribuan obor-obor terdampar di pantai

Obor-obor gergasi bersaiz lebih besar dari pelampung mula muncul dan terdampar di sekitar persisiran pantai.

DEVON - BRITAIN. Penggemar sukan air kini terpaksa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti di perairan pantai British.

Ini kerana memetik laporan Metro.co.uk, ribuan obor-obor gergasi bersaiz lebih besar dari pelampung mula muncul dan terdampar di sekitar persisiran pantai negara itu.

Menurut pakar, makhluk yang diukur sepanjang enam kaki ini mula ‘berhijrah’ dari laut Mediteranean ke persisiran pantai di Britain disebabkan kekurangan makanan di habitat asalnya.

“Lebih banyak plankton boleh ditemui di pantai di iklim yang lebih panas. Oleh sebab itu mereka (obor-obor) ke sini.

“Mereka tidak ada masalah untuk mencari makanan di pantai ketika air pasang, namun ketika arus air surut mereka akan terperangkap di sini,” katanya seperti yang dipetik menerusi portal tersebut.

Walaupun sesungutnya tidak membahayakan pengunjung, ia masih boleh menyebabkan ruam teruk sekiranya rawatan awal tidak diperoleh.

Jurugambar hidupan liar, Steve Trewhella berkata, dalam sehari, dia boleh menemui lebih dari 25 ekor obor-obor Barrel di sepanjang pantai.

“Kali ini bilangan obor-obor yang terdampar di sini lebih banyak daripada tahun lepas,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Terlerai sudah teka-teki Kamal Adli dan Emma Maembong

Emma Maembong


SEJAK kisah perpisahan aktres Emma Maembong dan Zizan Razak heboh diperkatakan, nama Kamal Adli dikatakan menjadi punca keretakan tersebut.

Bukan itu sahaja, beberapa dakwaan seperti Kamal menjemput Emma di lapangan terbang dan seterusnya Kamal dikatakan membawa Emma berjumpa dan mengenali keluarganya turut bertebaran.

Lebih menguatkan dakwaan bahawa mereka kini menjalinkan hubungan cinta, foto-foto mesra mereka keluar bersama turut bertebaran di laman sosial.

Namun, jika sebelum ini kedua-duanya lebih selesa memberi jawapan selamat, Kamal yang ditemui media kelmarin pada acara pertunjukan koleksi Raya Melinda Looi di Kota Damansara, akhirnya meleraikan teka-teki yang bermain sejak penghujung tahun lalu.

Mengakui dalam proses mengenali hati budi gadis berusia 23 tahun itu, Kamal berkata, masih terlalu awal untuk meletakkan sebarang harapan dalam perhubungan baharu ini.

"Apa yang boleh Kamal katakan, dia adalah wanita paling rapat dengan Kamal buat masa ini. Kami banyak kongsi masalah dan situasi yang sama.

"Kamal faham isu yang dilalui dan begitu juga dengannya. Jadi banyak perkara dibincangkan bersama, mungkin itu yang membuatkan kami rapat.

"Tapi Kamal tak berani nak cakap lebih-lebih kerana hubungan ini masih baru lagi dan apa yang berlaku pada masa akan datang Kamal tidak berani untuk berkata apa-apa lagi.

"Sebelum ini pun Kamal dah lalui benda yang amat menyakitkan dan begitu juga dengan dia (Emma)," jelasnya.

Bagaimanapun tegas Kamal, dia tidak menjadi punca keretakan hubungan Emma dan Zizan kerana mereka mula rapat apabila Emma mula sendiri.

Kamal akui agak risau untuk bercerita mengenai hubungan kami kerana ramai yang hentam Kamal dan tuduh Kamal menjadi punca.

"Tetapi ia sama sekali tidak benar kerana kami mula rapat setelah masing-masing sendiri,” ujarnya.

Sama seperti Kamal, Emma juga mengakui selesa berkawan dengan aktor yang mula dikenali menerusi drama Bionik itu.

Meminta peminat memahami situasi yang berlaku kini, Emma berkata, masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran dalam hubungan kali ini.

"Ya, Emma mengaku rapat dengan dia, tapi buat masa sekarang dalam sesebuah hubungan itu kita kenal orang itu terlebih dahulu.

"Tapi Emma tak nak cakap banyakbanyak mengenai perkara ini kerana kalau tak jadi orang akan cakap apa pula. Jadi biarlah masa menentukan.

"Cuma yang Emma minta, peminat tidak hentam kami dan faham dengan situasi yang berlaku kerana Emma baharu dalam proses mengenali,” jelasnya.

Ditanya mengapa dia senang bersama Kamal, Emma berkata, Kamal seorang yang gila-gila dan mereka juga sekepala dalam beberapa perkara.

"Emma bukan jenis yang control ayu dan kalau kami bosan, kami sama-sama suka main games. Malah adakalanya kami suka meluangkan masa di arked untuk bermain games di sana," katanya yang kini sibuk berlakon bersama Kamal menerusi drama Jodoh Sebelah Pintu.

Terkena buatan orang?

Dalam pada itu, ditanya berita yang mengatakan dia terkena buatan orang, Emma berkata, dia tidak mahu memikir secara negatif biarpun kini dalam proses berubat.

"Ya saya akui kulit muka saya bermasalah sehinggakan saya buat ujian darah, doktor kata darah saya bersih. Tapi saya fikir positif lagi mungkin perubahan hormon.

"Cuma beberapa perkara lain yang berlaku seperti tidur malam terganggu dan saya sering nampak benda-benda pelik membuatkan saya rasa tak selesa. "Mula-mula saya fikir saya penat, tapi lepas berubat, memang ustaz tersebut beritahu ada yang tak puas hati dengan saya.

"Jadi kini saya cuma banyak berdoa, solat dan berubat. Harap masalah ini tidak akan berlanjutan," jelasnya.

- Sumber: Sinar Harian 

Tuesday, 26 May 2015

Kakitangan PBT suspek dalang sindiket seludup pelarian Rohingya

ZAHID: "Mereka yang menjadi suspek ini telah pun ditahan untuk siasatan. Namun saya tidak boleh mendedahkan maklumatnya secara terperinci lagi.

KUALA LUMPUR: Polis menyiasat kemungkinan penglibatan kakitangan pihak berkuasa tempatan sebagai suspek dalang sindiket penyeludupan manusia susulan penemuan kubur besar pelarian Rohingya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya kini bekerjasama rapat dengan Jabatan Perhutanan yang berada di sempadan Thailand dan Malaysia untuk menyiasat perkara ini.

"Mereka yang menjadi suspek ini telah pun ditahan untuk siasatan. Namun saya tidak boleh mendedahkan maklumatnya secara terperinci lagi.

"Pihak kementerian Dalam Negeri sedang bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan yang berada di sempadan Thailand dan Malaysia di mana mereka sepatutnya mengawal dan berkuatkuasa di kawasan sana. Saya akan berhubung yang berkaitan untuk berbincang mengenai perkara ini," jelas Zahid di Lobi Parlimen pada hari ini.

Zahid juga tidak menolak kemungkinan jika pihak berkuasa yang disyaki berkomplot ini atas dasar memberi kebenaran pelarian ini melintasi sempadan Malaysia atau terlibat sekali dalam operasi menanam mayat-mayat ini.

"Kami tidak menafikannya tapi siasatan masih dijalankan," kata Zahid.

Beliau juga berkata berdasarkan siasatan, sindiket perkuburan beramai-ramai ini juga ada menunjukkan ada satu jaringan perhubungan antarabangsa antara Thailand dan Bangledesh selain turut melibatkan antara penduduk tempatan.

Sebelum ini, Zahid berkata penemuan kubur besar berdekatan 17 khemah dipercayai diguna untuk menempatkan pelarian di sini mungkin melibatkan aktiviti pemerdagangan manusia.

18 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, kira-kira 300 anggota pasukan komando VAT-69 telah diarahkan untuk menggeledah hutan tebal di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi mengesan aktiviti pemerdagangan manusia.

Operasi itu dilancar selepas pihak berkuasa Thailand menemukan beberapa kubur besar pendatang asing di dua kem milik sindiket pemerdagangan manusia di sekitar Padang Besar, Songkhla, awal bulan ini. 

- Sumber: Astro Awani